13 May 2016

Tiga Timbalan Ketua Menteri?

BAKAL JADI TIMBALAN?: Kombinasi gambar menunjukkan (dari kiri) Uggah, Abang Johari dan Masing yang diuar-uar akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri.
KUCHING: Selepas kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) hujung minggu lepas, barisan kabinet baharu negeri dijangka mengangkat sumpah hari ini.
Sidang media mengenai keanggotaan baharu itu akan dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 3 petang ini sebelum upacara angkat sumpah berlangsung di Dewan Lapau, bangunan DUN.
Tiada perincian lanjut mengenai upacara itu, bagaimanapun satu sumber mengatakan kabinet itu akan mengandungi 10 menteri penuh.
Dengan upacara itu juga, desas-desus mengenai jawatan Timbalan Ketua Menteri bakal terjawab.
Spekulasi yang bertiup kencang menyatakan Adenan akan melantik tiga Timbalan Ketua Menteri berbanding hanya satu sebelum ini.
Mereka ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing.
Uggah merupakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abang Johari ialah Timbalan Presiden PBB II, manakala Masing ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Sepuluh menteri penuh tersebut pula dijangka dibarisi Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Wong Soon Koh, Datuk Dr Sim Kui Hian, Datuk Fatimah Abdullah dan Dato Sri Michael Manyin Jawong.
Sumber turut memberitahu, Tan Sri William Mawan Ikom digugurkan daripada kabinet. Sebelum ini Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan dan Ahli Parlimen Saratok merupakan Menteri Pembangunan Sosial.
Beliau diuar-uarkan menyertai PBB bersama dua lagi calon langsung BN dari bekas Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang.
Mawan juga dikatakan bakal dilantik ke jawatan menteri dalam kabinet persekutuan menggantikan kekosongan ditinggalkan Uggah.
Lantikan Uggah yang telah meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat persekutuan itu pada 9 Mei lalu, seolah-olah bukan lagi rahsia. Kemunculan beliau pada PRN11 telah mengukuhkannya.
Bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban pada 7 Mei lepas, beliau menumbangkan pesaingnya, Noel Changgai Bucking daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 4,599 undi.
Sebelum menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Uggah yang kini berusia 60 tahun merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2008-2013).
Jawatan Timbalan Ketua Menteri sebelum ini dipegang Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang memilih untuk bersara daripada arena politik. Jabu yang digantikan anaknya, Gerard Rentap di kerusi DUN Layar, merupakan Timbalan Presiden PBB.
Ekoran kekurangan sokongan pengundi Cina terhadap BN pada PRN10 2011, jawatan Timbalan Ketua Menteri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dimansuhkan oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang pada ketika itu Ketua Menteri.
Pada PRN11, BN memperoleh mandat besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi. Sejumlah 40 kerusi dimenangi PBB, iaitu kesemua kerusi yang ditandinginya.
Jumlah kerusi itu turut datang daripada kawasan majoriti pengundi Cina yang antaranya dimenangi Presiden SUPP, Dr Sim di Batu Kawah.
Susulan kemenangan BN pada PRN 11, Adenan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada malam 7 Mei di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
PRN11 menyaksikan pertambahan daripada 71 kepada 82 kerusi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri.
Sementara itu, Abang Johari bukan lagi nama asing dalam persada politik Sarawak dan negara. Beliau merupakan Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak yang terkenal dengan idea-idea pembaharuannya.
Masing pula membuktikan PRS di bawah pimpinannya kekal unggul apabila menang semua 11 kerusi yang diamanahkan kepada parti itu.
Kemenangan itu merupakan pengekalan rekod kemenangan 100 peratus menerusi kejayaan sembilan kerusi pada PRN10 2011.
Selain PBB dan PRS, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang tiga kerusi, SUPP (7), calon BN langsung (11).

12 May 2016

Mawan dan geng sertai PBB

KUCHING: Pemangku Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Datuk Peter Nansian mengesahkan bahawa parti politik itu dibubarkan semalam.
Menurutnya, para pengikut parti yang ditubuhkan oleh kalangan wakil rakyat BN tanpa parti itu akan mengikut jejak tiga pemimpin mereka — Tan Sri William Mawan, Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau) menyertai parti komponen BN yang baharu, seperti yang disyaratkan sebagai calon langsung BN.
“Tindakan ini diambil kerana mereka tidak boleh menyertai kembali parti Teras,” kata Nansian lagi.
Menurut perjanjian sebagai calon langsung BN, mana-mana mereka yang menang akan bebas memilih parti komponen untuk disertai.
Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, ketiga-tiga bekas pemimpin Teras ini memilih untuk memperkukuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan menjadi sebahagian daripada wakil rakyatnya.
Tindakan ini pasti mengejutkan pimpinan parti komponen lain kerana dengan sendirinya, PBB akan menguasai 46 daripada 72 kerusi yang dimiliki parti itu.
Tiga calon langsung lain iaitu di Serembu, Mulu dan Bukit Semuja turut memilih parti itu sebagai tempat mereka bersandar.
Kejayaan ini sebenarnya menunjukkan kemenangan sebenar Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem kerana dengan sendirinya, beliau akan mendapat ruang dan keadaan yang selesa memandangkan majoriti kuasa berpihak kepada partinya.
“Atas apa jua yang dilakukan oleh parti komponen selepas ini, parti ini (PBB) tetap kental dan teguh kerana ia memiliki kuasa yang cukup untuk melaksanakan kerajaan — malah melebihi 42 kerusi yang disyaratkan,” kata penganalisis politik, Dr Nadrawina Isnin.

Uma Badeng Asmidy Agau Musnah

MENYEMBAH BUMI: Uma Badeng Asmidy Agau musnah terbakar,
lebih 100 penghuni tinggal sehelai sepinggang
SIBU: Lebih 100 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang 27 pintu Uma Badeng Asmidy Agau di Long Urun, Belaga, Bintulu musnah dalam kebakaran tengah hari semalam.
Meskipun tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan, penghuni rumah panjang terbabit gagal menyelamatkan sebarang harta benda kerana api merebak pantas.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti, namun ia dipercayai bermula dari bahagian dapur salah sebuah bilik rumah panjang terbabit.
Api dipercayai bermula semasa salah seorang daripada penghuninya sedang memasak tanpa mengawasi dapurnya dan kemudian dipercayai terlelap.
Sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba Bintulu diketuai PB Willie Senin bergegas ke lokasi kejadian menaiki FRT Scania ke Samalaju selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah hari.
Pihak bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Samalaju sehingga ke lokasi kejadian yang mengambil masa kira-kira lima jam.
Bagaimanapun, segalanya sudah terlambat kerana rumah panjang tersebut sudah menyembah bumi pada jam 1.30 petang.
Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong yang turut berada di lokasi dimaklumkan pihak bomba bahawa rumah panjang tersebut musnah 100 peratus.
Punca sebenar kebakaran itu masih dalam siasatan pihak bomba.

Parti TERAS Bubar

TUTUP TIRAI: Nansian menunjukkan kenyataannya membatalkan pendaftaran TERAS.
KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) tidak lagi mempunyai hala tuju kukuh apabila wakil rakyatnya tidak boleh kembali ke parti selepas menang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN).
Justeru, tidak ada sebab untuk parti mesra BN itu terus wujud, demikian menurut Pemangku Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie.
Selepas berunding dengan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, katanya, mereka bersetuju untuk membubar dan membatalkan pendaftaran TERAS dan proses itu sedang dijalankan.
“Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11, tiga YB (wakil rakyat) dipilih untuk bertanding, manakala dua lagi digugurkan. Apabila dipilih untuk bertanding, mereka berjanji untuk menyertai parti komponen BN sedia ada dan tidak boleh kembali kepada TERAS.
“Oleh itu, TERAS sudah tidak ada tujuan lagi dan tiada sebab untuk terus mewujudkan TERAS,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Tiga wakil rakyat yang dipilih sebagai calon langsung BN dalam ‘Pasukan Adenan’ ialah bekas Presiden TERAS Tan Sri William Mawan Ikom, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang yang masing-masing menang di kerusi Pakan, Bekenu dan Batu Danau.
Manakala, Nansian dan Datuk Sylvester Entri Muran tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi masing-masing di Tasik Biru dan Marudi, apabila ia diberikan kepada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Nansian berkata, pembubaran parti itu dijangka akan terus mengukuhkan BN apabila kurang parti untuk ditangani oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Negeri.
Menurut beliau, kesemua ahli TERAS yang dianggar lebih 20,000 orang akan mengikut langkah tiga bekas pemimpin parti iaitu Mawan, Rosey dan Paulus menyertai parti komponen BN yang dipilih.
“Ketiga-tiga YB dan kesemua ahli TERAS akan menyertai parti komponen BN secara satu kumpulan, seperti dipersetujui BN,” jelasnya.
Parti serpihan SPDP itu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2013 selepas Nansian dan Entri dipecat dari parti susulan krisis pucuk pimpinan.
Bagaimanapun, pada 2014 Mawan yang merupakan Presiden SPDP ketika itu membawa mereka masuk semula ke dalam parti, namun keputusan itu ditentang pemimpin-pemimpin lain dalam parti.
Kelima-lima mereka kemudiannya mengumumkan pada satu sidang media pada persidangan Dewan Undangan Negeri 15 Mei 2014, keluar dari SPDP untuk menyertai TERAS.
--Utusan Borneo 12/05/2016

SPDP Bincang Penggabungan Dengan UPP

KUCHING: Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengadakan mesyuarat tergempar semalam untuk membincangkan penggabungan dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu, Majlis Tertinggi SPDP sebulat suara bersetuju untuk menawarkan penggabungan kepada UPP.
Mesyuarat itu turut mempelawa Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), sebuah parti serpihan SPDP, selain tiga calon Barisan Nasional (BN) lain yang dipilih dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini tetapi tidak ada parti.
Tiong menegaskan bahawa tiada syarat dikenakan bagi mana-mana parti atau individu berkenaan untuk menyertai SPDP.
“Kami mengadakan perbincangan yang lama dan mencapai keputusan sebulat suara oleh kesemua 28 ahli Majlis Tertinggi yang menghadiri mesyuarat ini dan kami bersetuju untuk membuka pintu kami kepada semua calon langsung BN untuk sama ada menyertai parti kami sebagai individu atau sebagai parti seperti UPP dan TERAS,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti di sini, semalam yang dihadiri 28 daripada 31 ahlinya.
“Kami sebelum ini menawarkan kepada UPP untuk menyertai kami dan kemudian kami mencadangkan perbincangan dan pada hari ini, kami membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi untuk dibincangkan dan pada dasarnya, bersetuju untuk menawarkan pelawaan ini kepada mereka dan sudah tentulah, jika perkara ini boleh dicapai, maka butiran bagi penggabungan parti-parti terbabit akan dibincangkan kemudian,” ujarnya.
Tiong menegaskan jika ada calon langsung BN yang mahu menyertai mereka sebagai individu perseorangan, mereka perlu memohon dan akan diterima sewajarnya.
Mengenai penggabungan seperti di antara UPP dan SPDP, ia dijangka lebih rumit kerana melibatkan ahli-ahli, majlis tertinggi dan wakil rakyat.
“Bagi entiti penggabungan, sudah tentulah kami mahu melihat bagaimana untuk membincangkan butiran, sama ada seluruh parti akan menyertai kami atau tidak.
“Ia pasti memerlukan lebih banyak butiran yang kami perlu teliti. Sudah tentulah kami perlu menunggu jawapan daripada pihak terbabit.
“Biarlah kami maklumkan, untuk UPP kami membuka pintu kepada mereka untuk menyertai kami.
“Namun jika mereka mahu masuk sebagai sebuah parti, ia adalah perkara yang berlainan kerana mereka ada ahli, majlis tertinggi, mereka ada Yang Berhormat. Maka itu ia adalah berbeza dan memerlukan perbincangan selanjutnya,” kata Tiong.
Seramai lima bekas pemimpin UPP bertanding sebagai calon langsung BN dan menang iaitu Dato Sri Wong Soon Koh yang memenangi kerusi Bawang Assan, Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Datuk Tiong King Sing (Dudong), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili).
Mengenai bekas pemimpin TERAS Tan Sri William Mawan Ikom yang menang di Pakan, Rosey Yunos (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau), Tiong berkata SPDP juga akan menghulurkan pelawaan kepada mereka untuk menyertainya semula, sama ada sebagai orang perseorangan atau dalam satu kumpulan.
Ahli Parlimen Bintulu itu juga berkata perkara ini turut diguna pakai kepada calon langsung BN lain yang memenangi pilihan raya iaitu Miro Simuh yang memenangi kerusi Serembu, John Ilus (Bukit Semuja) dan Datuk Gerawat Gala (Mulu).
Mengenai isu berasingan, Tiong menegaskan pelantikan ke kabinet negeri adalah hak Ketua Menteri.
“Ramai bimbang mengenai pelantikan sebagai ahli kabinet tetapi bagi kami, kami lebih bimbang mengenai usaha untuk menyatukan semua orang kerana semua orang mempunyai hala tuju yang sama – untuk mengukuhkan BN, dan itulah sebabnya kenapa kami membuka pintu kepada semua orang untuk menyertai kami. Sememangnya pelantikan ke kabinet adalah prerogatif Ketua Menteri,” tegasnya.
Ditanya sama ada SPDP akan menjadi parti berpaksikan masyarakat Cina atau tidak, Tiong berkata berdasarkan perlembagaan parti, SPDP adalah sebuah parti pelbagai kaum.
“Sama ada Iban, Cina atau Melayu adalah majoriti, SPDP tetap parti pelbagai kaum. Perkara itu terkandung dalam perlembagaan kami,” ujar Tiong.
Tiong turut menjelaskan cadangan baharu mengenai penggabungan dengan UPP dan TERAS tidak ada kena-mengena dengan ‘Merger of the Mind’ yang dicadangkan dahulu oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing, yang diterima oleh SPDP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
“Kami mengambil langkah awal ini dan menunggu jawapan mereka. Jika kami mengambil langkah dan ada jawapan, maka peringkat kedua akan diadakan. Bagaimanapun, tempoh akan ditetapkan. Kami membuka pintu dan melihat perkembangannya terlebih dahulu,” tambah Tiong.
Sementara itu, Tiong berkata SPDP tidak perlu mendapatkan restu terlebih dahulu daripada parti komponen BN lain termasuk Perdana Menteri selaku pengerusi BN Pusat dan Ketua Menteri selaku pengerusi BN Negeri, kerana inisiatif tersebut masih pada peringkat awal.
 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress