KUCHING: Dua wartawan Australia yang ditahan kerana didakwa melanggar garisan keselamatan dengan cuba mendekati Perdana Menteri, tidak didakwa di mahkamah sebaliknya dihantar pulang.
Mereka, jurukamera Louie Eroglu dan wartawan Linton Joshua Besser yang diiringi peguam mereka, Albert Tang serta rakan guamnya Gordon Tang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Singapura pada jam 10.30 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.
Sebelum ini, Eroglu dan Besser ditahan di hotel mereka dua jam selepas didakwa cuba melepasi garisan keselamatan ketika cuba menyoal Perdana Menteri secara ‘agresif’ semasa lawatan di Kota Sentosa pada Ahad lepas.
Susulan daripada itu Albert yang mewakili mereka, menerima panggilan daripada Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek pada petang Isnin (kelmarin) bahawa mereka menerima arahan bahawa dua anak guamnya itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Ku-ching pada jam 8.30 pagi Selasa (semalam).
Bagaimanapun kata Albert, beliau menerima panggilan daripada ASP Sofian Abu Bakar sekitar jam 1 pagi yang memaklumkan menerima arahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Kuching bahawa tiada pertuduhan dikenakan terhadap dua anak guamnya itu dan mereka tidak perlu ke mahkamah.
“Sebaliknya saya disuruh membawa kedua-dua anak guam saya dari hotel ke Balai Polis Kota Sentosa untuk membatalkan jaminan polis mereka.
“Pagi tadi (semalam) kami ke Balai Polis Kota Sentosa dan disambut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek dan beliau memberitahu telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa Ketua Peguam Negara memutuskan tidak akan meng-ambil tindakan udang-undang dan kedua-dua mereka bebas meninggalkan negara,” katanya ketika ditemui di LTAK, semalam.
Turut bersama mengiringi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Padawan ASP Sofian Abu Bakar dan pegawai imigresen yang bersama membantu menguruskan pendaftaran penerbangan dan pelepasan kepada kedua-dua warga Australia itu.
“Namun saya gembira kerana ia berakhir dengan baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan mereka, yang saya percaya ini adalah satu pengalaman yang enggan dilalui pemberita,” tegas-nya.
Menurutnya, pertuduhan itu sepatutnya dikenakan di bawah Seksyen 186 (Kanun Keseksaan) iaitu menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mereka, iaitu pertuduhuan yang boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Albert bagaimanapun menjelaskan beliau tidak tahu sekiranya kedua-dua wartawan itu diletakkan dalam senarai hitam atau tidak kerana sehingga kini tidak dimaklumkan mengenainya.
“Berdasarkan ingatan saya, saya tidak tahu tentang mana-mana pemberita yang pernah didakwa atau dituduh di bawah Seksyen 186 dan sebenarnya kita tidak menjumpai banyak duluan (precedent) dalam kes-kes dilaporkan,” tegas Albert.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.