16 March 2016

Malaysia Tetap Mahukan Pihak Yang Menembak Jatuh MH17 Dihadapkan Ke ICJ


KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Malaysia tetap mahukan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MAS MH17 dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tidak kira siapa mereka.

"Malaysia telah meminta penyertaan pakar dari badan-badan antarabangsa untuk menyiasat hal-hal yang menyebabkan berlakunya insiden itu.

"Insiden itu tidak saja melibatkan Malaysia tetapi juga beberapa negara lain.

"Jadi saya yakin masyarakat antarabangsa ingin tahu apa sebenarnya berlaku," kata beliau ketika mengulas pendirian Rusia yang mahukan laporan siasatan 'yang objektif, bebas dan tidak berat sebelah' atas insiden yang berlaku pada Julai 2014 itu.


Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia, Valentina Ivanovna Matviyenko menyatakan pendirian itu pada sidang akhbar selepas mengunjungi Abu Zahar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Rusia menolak laporan Lembaga Keselamatan Belanda mengenai hasil siasatan terhadap kejadian itu, dikeluarkan pada Oktober tahun lepas.

Semasa lawatan itu, Matviyenko juga mengunjungi Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


--BERNAMA 15/03/2016

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress