16 March 2016

Adenan Jangka Banyak Pengundi Cina Kembali Kepada BN

KUCHING, 15 Mac - Barisan Nasional berkeyakinan untuk memenangi semula sokongan yang banyak daripada pengundi Cina dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau percaya 'angin perubahan' semakin dirasai berikutan beberapa dasar yang dilaksanakan sejak beliau mengambil alih kepimpinan negeri daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 2014.

"Terdapat perubahan, peralihan semula (sokongan) kepada BN," katanya dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang trend pengundian masyarakat Cina di Sarawak dan harapan beliau dalam pilihan raya negeri itu.

"(Perubahan) ada berlaku, saya perhatikan, disebabkan dasar saya berkaitan kaum Cina - pertama, mereka bukanlah pendatang, pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersatu, penyertaan siswazah Cina ke dalam perkhidmatan awam negeri dan Yayasan Sarawak dan seterusnya.

"Saya fikir mereka boleh menerima dan saya percaya di pihak mereka, ada yang mengubah fikiran tetapi sama ada ia memadai atau tidak, saya tidak tahu, namun semestinyalah terdapat peralihan untuk kembali kepada BN," katanya.

Mengenai masalah pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN, Adenan berkata pendekatan beliau adalah menerusi pujukan agar mereka menerima keputusan yang akan beliau lakukan dan bukannya dengan mengeluarkan amaran.

Beliau mengakui bahawa kewujudan dua parti berasaskan Cina - SUPP dan UPP - di pihak BN akan menjadi masalah.

"Jika ada peralihan untuk kembali kepada BN, mereka (kaum Cina) perlu memutuskan parti mana yang akan mereka pilih, UPP atau SUPP, dan ini akan mengakibatkan mereka berpecah. Jadi, cara terbaik adalah untuk meletakkan calon langsung BN," katanya.

Ditanya sama ada parti komponen BN bersetuju dengan cadangan untuk mempertaruhkan calon langsung, beliau berkata ada antara mereka yang agak keberatan untuk bersetuju, namun kesemua mereka menerima rasional di sebalik langkah itu.

Kepada soalan sama ada kerajaan Sarawak melaksanakan yang sebaik-baiknya bagi kaum Cina, beliau berkata terpulang kepada mereka (kaum Cina) untuk menentukan memandangkan beliau telah melakukan yang terbaik buat mereka.

"Satu daripadanya adalah mengiktiraf mereka. Saya tidak suka mengikut sesetengah pihak di Semenanjung Malaysia yang memanggil mereka pendatang. Mereka berada di sini selama beberapa generasi. Jika anda perhatikan di Malaysia, tanah perkuburan Cina ada di merata-rata tempat. Jangan cakap mereka ini semua meninggal dunia semalam.

"Kenapa panggil mereka pendatang? Mereka bukanlah dari Bangladesh atau Myanmar. Mereka (kaum Cina) menganggap negara ini sebagai tanah air mereka. Mereka akan ke China untuk mengunjungi sanak saudara yang sudah lama tidak bersua muka. Selepas itu, mereka kembali ke tanah air. Ini tanah air mereka," katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress