KUCHING - Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak atau agensi kerajaan negeri yang lain tidak pernah terlibat sama sekali dalam penganjuran perlumbaan berbasikal Jelajah Sarawak (ToS).
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak Kameri Affandi berkata perlumbaan dari Miri ke Kuching itu adalah anjuran sepenuhnya syarikat dari Semenanjung Malaysia, Faidz Industries Sdn Bhd manakala kementerian hanya membantu melancarkan pelaksanaannya dari segi penyelarasan.
"Dengan penjelasan ini, adalah diharap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak dan kerajaan negeri tidak diheret ke dalam kemelut yang melanda perlumbaan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pengurus Projek Mohd Fadzli Mat Yusof dalam sidang medianya di sini semalam, menjelaskan ToS terpaksa dibatalkan setelah penaja menarik diri pada saat akhir.
Pelbagai pihak menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pembatalan perlumbaan itu pada saat akhir kerana selain menimbulkan kesulitan kepada peserta khususnya dari luar negara yang sudah berada di Miri, pembatalannya juga menjelaskan imej Sarawak.
Menteri Muda Sukan Sarawak Datuk Lee Khim Shin yang kesal dengan pembatalan perlumbaan itu berkata ia telah menjejaskan nama baik bandar Miri dan negeri Sarawak, dan mengarahkan pegawainya menyiasat perkara berkenaan.
--KLXpress 19/03/2016
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.