17 March 2016

Mansuh Cukai Tanah Langkah Bijak Ringankan Beban Rakyat

KUCHING: Pemerhati politik tempatan, Datuk Peter Minos berpendapat langkah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memansuhkan cukai tanah kediaman dan pertanian sebagai satu langkah bijak kerajaan negeri meringankan beban kewangan susulan kenaikan kos sara hidup.
Adenan yang sebelum ini memansuhkan bayaran tol tiga jambatan di Sarawak, mengurangkan tarif elektrik dan bayaran feri, menurutnya telah membuktikannya sebagai pemimpin yang amat prihatin terhadap rakyat.
Sukar untuk mencari pemimpin prihatin sedemikian, katanya.
“Itulah Ketua Menteri Adenan. Beliau nampak serius, tetapi di dalam jiwanya, beliau amat mengambil berat kebajikan rakyat dan mahu kerajaan yang penyayang, tidak sekadar retorik ibarat sering dilakukan pembangkang,” katanya kepada Utusan Borneo.
Sambil mengajak orang ramai menilai 50 prinsip dan tindakan diinisiatifkan Adenan sepanjang menjadi Ketua Menteri selama dua tahun, Minos mempersoalkan keupayaan pemimpin-pemimpin parti pembangkang melakukan apa yang diusahakannya.
“Mereka yang mempersoalkan gurauan Adenan mengenai ‘Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kahwin wanita Iban’ sebenarnya tidak ada cara lain untuk menjatuhkan pemimpin yang baik dan popular,” ujarnya.
Katanya majoriti rakyat di Sarawak tidak yakin dengan keupayaan barisan kepimpinan pembangkang hendak membentuk kerajaan negeri mahupun menjadi Ketua Menteri.
“Bagaimana rakyat hendak yakin jika mereka tidak berbuat apa-apa melainkan mencari kesalahan orang lain tetapi gagal melahirkan idea-idea untuk membangunkan Sarawak.
“Di United Kingdom, mereka menyifatkan pembangkang sebagai bertanggungjawab, tetapi adakah kita layak mengkelaskan pembangkang di sini dengan gelaran demikian?,” katanya.
Selagi pembangkang tidak mampu meyakinkan rakyat mereka mampu melakukan lebih baik untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat, pihak terbabit tidak akan dihormati dan diyakini oleh majoriti rakyat.
Malah, pembangkang katanya akan kekal sebagai pembangkang yang tidak bertanggungjawab sekiranya tidak muncul dengan usaha dan ilham pembangunan.
Sebaliknya, kerajaan negeri diketuai Adenan, sentiasa berusaha memohon peruntukan kewangan daripada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita boleh lihat usahanya berserta keikhlasan dan semangat tinggi demi rakyat. Mungkin pembangkang sengaja untuk tidak menyedari, tetapi bagi kita memang kita amat menghargainya,” katanya.
Pembangkang juga katanya, tidak munasabah apabila mempersoalkan sesuatu keputusan yang penting untuk dicapai dalam tempoh singkat.
Perlakuan demikian katanya menggambarkan pemikiran golongan yang tidak bertanggungjawab, kata Minos sambil menambah beliau akan tabik kepada mereka yang dapat memperolehi keputusan penting daripada Putrajaya dalam tempoh singkat.
“Ketua Menteri cuba sedaya upaya dan berjaya, malah akan mendapat lebih daripada Putrajaya.
“Beliau lakukannya dengan berani dan jujur. Ada tak sesiapa daripada pembangkang melakukan perkara lebih baik daripada itu? Sila namakan,” katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress