17 March 2016

Menara Merdeka Tertinggi di Malaysia, Kedua di Asia

KUALA LUMPUR  – Fasa pertama pembinaan projek Warisan Merdeka bernilai RM5 bilion yang turut akan membabitkan pembinaan Menara Merdeka PNB118 dijangka mencipta rantaian faedah ekonomi sehingga RM11 bilion.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, Warisan Merdeka itu adalah sebuah projek pembangunan bercampur yang akan melibatkan tiga fasa di atas tapak seluas kira-kira 7.6 hektar yang terletak berhampiran Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Katanya, keseluruhan projek yang mengandungi tiga fasa itu akan siap sepenuhnya pada tahun 2024. Tambahnya, kerja-kerja asas untuk fasa pertama yang melibatkan projek Menara 118 tingkat telah dimulakan pada tahun 2014.

“Projek ini dijangka mencipta rantaian faedah ekonomi utama dan sampingan kira-kira RM11 bilion. Di samping menggalakkan aktiviti ekonomi, projek ini akan memberi nilai tambah dengan jangkaan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pelancaran Projek Warisan Merdeka yang di­sempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Dengan menggunakan rekaan oleh firma arkitek dari Australia, Fender Katsalidis Architects, menara setinggi 118 tingkat itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia dan kedua di Asia.

Kata Ahmad Sarji, dengan ke­tinggian 630 meter, menara tersebut bakal menjadi bangunan kelima tertinggi di dunia dan bakal disenaraikan bersama beberapa bangunan tertinggi di dunia yang lain seper­ti Burj Khalifa di Dubai, Menara Shanghai di China dan Menara Jam Diraja Mekah di Arab Saudi.

Beliau berkata, projek-projek kerajaan di sekitar kawasan Warisan Merdeka itu juga akan menjamin kemampanan atau kelestarian projek itu.

Malah, katanya, sebuah stesen aliran transit massa yang dinamakan sebagai MRT Merdeka sedang dibina dan dijangka siap dalam tahun 2017.

“Laluan Monorel dan aliran transit ringan (LRT) sedia ada juga akan disambungkan ke stesen MRT Merdeka itu.

Justeru, masalah kese­sakan lalu lintas dapat ditangani dengan baik dengan penyediaan rantaian akses yang mencukupi untuk keluar dan masuk ke kawasan Warisan Merdeka ini,” katanya.

Beliau juga berkata, Menara Merdeka PNB118 itu juga merupakan bangunan pertama di Malaysia yang meme­nuhi triple green building platinum yang diakreditasikan oleh badan-badan tempatan dan antarabangsa seperti Green Building Index (GBI), GreenRe dan Kepimpinan di dalam Rekaan Alam Sekitar dan Tenaga (LEED).

Selain menerima persijilan sebagai bangunan hijau, menara itu juga dianugerahkan status Pusat Siber Koridor Raya Multimedia (MSC), tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sarji PNB akan berusaha memastikan perbelanjaan projek pembinaan itu mengikut anggaran RM5 bilion yang dinyatakan, walaupun berdepan risiko peningkatan kos bahan binaan.

Beliau turut berpuas hati kerana projek itu turut melibatkan syarikat kejuruteraan tempatan UEM Group Bhd. yang akan bersama syarikat Korea Selatan, Samsung C&T Corp.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress