13 March 2016

Sarawak Berterima Kasih Kepada PM Beri Peluang Rapatkan Jurang Pembangunan - Adenan

SERIAN, 13 Mac - Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi peluang kepada negeri berkenaan untuk turut menikmati pembangunan dan kemajuan seperti terdapat di Semenanjung Malaysia.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata dalam kalangan enam perdana menteri setakat ini, Najib yang paling prihatin dan komited terhadap kesejahteraan Sarawak.

"Kami amat berterima kasih kepada beliau dalam hal ini," katanya pada majlis pelancaran fasa ketiga projek Lebuhraya Pan Borneo oleh Najib, di sini Ahad.

Lebuh raya bernilai RM1.46 bilion itu bermula dari bulatan Bandar Serian sehingga ke persimpangan Pantu, meliputi jarak 75 kilometer.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Adenan berkata sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, Najib membawa banyak projek besar bernilai berbilion ringgit ke Sarawak.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu amat penting serta tepat pada masanya kerana ia boleh membantu mengembangkan ekonomi Sarawak seperti yang dibawa Lebuhraya Utara-Selatan kepada negeri yang direntasinya.

Adenan memberi jaminan bahawa kontraktor tempatan terutama syarikat Bumiputera akan diberi keutamaan dalam pelbagai kerja utama pembinaan lebuh raya itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Bidayuh kerana keluar beramai-ramai menghadiri majlis itu, dan menyifatkan sebagai perhimpunan terbesar mereka yang pernah beliau saksikan, setakat ini.

Katanya kerajaan negeri memutuskan untuk menaikkan taraf daerah Serian kepada taraf Bahagian tahun lepas, sebagai pengiktirafan terhadap saiz dan perpaduan masyarakatnya.

Beliau berkata daripada 82 kerusi yang bakal ditandingi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang, dua lagi akan diperuntukkan secara khusus kepada masyarakat Bidayuh untuk menjadikan tujuh kesemuanya.


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress