13 March 2016

Belukar Hangus, Asap Tebal Kejas Penduduk

BANTU: Pekerja syarikat Naim membantu memadam api di tepi jalan di Tudan.

MIRI: Penduduk utara Miri khasnya kawasan Tudan dan Senadin mengadu terjejas akibat terhidu asap tebal daripada kebakaran belukar berdekatan Universiti Curtin Sarawak.

Kejadian itu turut menyebabkan persekitaran rumah dipenuhi debu yang ditiup angin.

Sehingga jam 4 petang semalam, anggota bomba dan penyelamat masih berusaha melakukan pemadaman untuk mengelak kebakaran terus merebak ke kawasan belukar yang kering akibat cuaca panas.

Ketua Zon 6 Penguasa Kanan Bomba 1 Law Poh Kiong berkata, selain asap, anggota bomba juga berdepan dengan laluan belukar yang tebal.

“Kita masih belum mengetahui punca sebenar kebakaran ini. Asap tebal dari kebakaran hutan belukar yang tebal. Terdapat juga kebakaran berlaku di tepi jalan,” katanya.

Melihat kepada musim kering sekarang, Law meminta pemilik tanah di utara Miri agar menjaga kawasan masing-masing.

Beliau berkata, keadaan panas terik boleh menyebabkan kebakaran di kawasan kering merebak dengan cepat dan luas.

“Ketika musim kering ini, mereka perlu lebih kerap melawat  tanah. Sekiranya berlaku kebakaran mereka harus segera bertindak memadam api untuk mengelak ia marak, “ jelas Law.

Selain bomba, turut membantu memadam kebakaran di tepi jalan di Tudan ialah sepasukan pekerja syarikat Naim.

 --Utusan Borneo 13/03/2016 


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress