17 March 2016

Anggota Cuepacs Diminta Tidak Terlibat Perhimpunan 'Deklarasi Mahathir'

JOHOR BAHARU - Anggota Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diminta supaya tidak terlibat dalam perhimpunan 'Deklarasi Mahathir' yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor pada 27 Mac ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sememangnya tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.

"Kita tidak setuju dengan cara-cara yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan. Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan ada dalam kalangan mereka terlibat sama.

"Kita berkhidmat dengan kerajaan dan bukannya terlibat dengan parti politik. Kita mahu penjawat awam ini tumpukan matlamat dan kerjaya kepada tugas mereka (dan) jangan terikut-ikut dengan sentimen tertentu seperti menjatuhkan kerajaan," katanya selepas menghadiri taklimat isu semasa oleh Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam di sini Rabu.

Azih berkata penjawat awam seharusnya sedar bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada kerajaan dan memastikan ekonomi negara stabil, sekaligus mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Beliau berkata sekiranya ada penjawat awam yang masih berdegil dan turut terlibat dalam perhimpunan itu, mereka akan berhadapan dengan risiko dibuang kerja di bawah tatatertib 4B.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress