17 March 2016

Polis Wanita Trafik 'Naik Angin' Ditukar Sehingga Siasatan Selesai

Seorang anggota polis wanita trafik yang dilihat memarahi pelanggannya diarah menjalani pertukaran dalaman sementara siasatan ke atasnya dijalankan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap insiden terbabit.

"Sementara siasatan sedang dilaksanakan, arahan pertukaran dalaman terhadap anggota polis wanita telah dibuat dengan serta merta (tugas pentadbiran) dan tidak lagi berurusan di barisan hadapan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Mohammad Azlin mengesahkan kejadian itu berlaku pada 13 Mac lalu di kaunter pejabat pertanyaan trafik IPD Subang Jaya, kira-kira jam 6 petang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan dalaman akan dibuat daripada pelbagai aspek sebelum keputusan selanjutnya diambil.

"Saya juga menegaskan bahawa semua lapisan pegawai/anggota dan pegawai awam di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya Selangor agar mempamerkan keperibadian yang tinggi serta sabar dalam melayan sesiapa juga pelanggan yang datang membuat pengaduan," ujarnya.

Video rakaman anggota polis berkenaan memarahi pelanggan itu kini menjadi viral di media sosial.

Rakaman selama 1.33 minit itu menunjukkan anggota terbabit bercakap dengan suara kasar sehingga mendapat kecaman daripada netizen.

Bagaimanapun ada kalangan netizen berpendapat anggota polis itu bertindak demikian selepas digelar'stupid' oleh pelanggan yang juga perakam video terbabit.




Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress