KUCHING: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail sebagai menteri muda memperlihatkan keputusan dibuat dalam pemilihan itu berdasarkan rekod baik ditunjukkannya sepanjang berkhidmat di bawah konstituensi itu.
Menurut Dr Abdul Rahman, sejak bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar James Wong bersara daripada politik, tiada seorang pun wakil dari Limbang dalam barisan kebinet negeri dan keputusan melantik beliau tepat pada masanya.
“Pelantikan ini jelas menunjukkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mendengar suara akar umbi, terutama penduduk Limbang agar ADUN mereka dilantik sebagai salah seorang ahli kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Beliau menambah, meskipun amanah dan tanggungjawab diberi kepadanya itu sesuatu yang mencabar, namun beliau melihat ia sebagai batu loncatan kepada karier politiknya.
Beliau turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Adenan kerana mempercayainya untuk menggalas tugas dan amanah selaku menteri muda baharu.
Terdahulu dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), Dr Abdul Rahman yang merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Kota mempertahankan kerusi DUN itu dengan menang tanpa bertanding.
--Utusan Borneo 20/05/2016
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.