KUCHING: Anak kelahiran negeri ini daripada kaum Lun Bawang, Ganang Tagal, 47, kini menjadi salah seorang kakitangan penting Petronas yang terbabit menguruskan operasi cari gali minyak syarikat itu sekitar perairan negara ini. Beliau berasal dari Trusan, Lawas bertugas sebagai Pengurus Kanan Logistik Barat, Petronas Carigali Sdn. Bhd. yang menguruskan pangkalan bekalan Petronas di Kemaman dan Labuan yang bertangungjawab menghantar bekalan ke pelantar dan kapal cari gali minyak syarikat di perairan negara.
Selain itu, Ganang juga bertangungjawab menguruskan pertukaran pekerja pelantar minyak, operasi penerbangan helikopter, pelayaran kapal membawa bekalan makanan dan peralatan ke pelantar minyak Petronas.
"Saya juga bertangungjawab menguruskan penerbangan helikopter bagi kes kecemasan yang memerlukan rawatan perubatan ke kapal atau pelantar minyak Petronas atau membawa pesakit ke daratan bagi diberikan rawatan lanjut," katanya pada Ceramah Kerja dan Pekerjaan di Pesta Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCatFAIR 2016), di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Sejingkat, di sini, semalam.
Ganang berkata tugasnya itu menyebabkannya menguruskan banyak kontrak syarikat sehingga belanjawan mencecah RM600 atau RM700 juta bagi operasi pangkalan bekalan syarikat dalam keadaan baik kerana sebarang gangguan walaupun sejam boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
Beliau sehubungan itu, berharap golongan muda di negeri ini terutama di luar bandar dapat mengikut jejak langkahnya yang selama ini tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita dalam bidang kerjaya yang diminati.
Bekas pelajar SMK Lawas terbabit mengakui mula bercita- cita menjadi pekerja syarikat minyak ketika belajar di Tingkatan Enam SMK Lutong, Miri yang memberinya berpeluang melihat pekerja syarikat Petronas dan Shell dan mengenali kerjaya terbabit. "Saya pernah terfikir sama ada akan mampu menjadi pekerja syarikat minyak ketika itu kerana tidak berminat belajar Matematik dan Bahasa Melayu. Selepas tamat tingkatan enam terus mencari pekerjaan dan bekerja di sektor pembinaan di Brunei Darussalam," katanya.
Di Brunei, syarikat pembinaan mengarahkannya menjadi pencuci jentera besar yang dipenuhi lumpur dan disebabkan pekerjaan itu amat sukar, beliau memutuskan mengikut nasihat kawannya memasuki Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) di Kota Kinabalu.
"Apabila memohon memasuki UiTM di Kota Kinabalu, saya memberitahu ibu bapa hanya perlu RM150 bagi memasuki universiti kerana tidak mengetahui ada yuran perlu dibayar pelajar setiap semester tetapi saya kemudian tidak memaksa ibu bapa memberikan wang terbabit disebabkan mereka petani," katanya.
Ganang kemudian meminta yuran semester pertama terbabit menjadi hutangnya dengan universiti dan melangsaikan hutang itu dengan menoreh getah di kebun seluas 14 ekar milik keluarganya ketika cuti semester.
"Saya mampu menjual getah sebanyak RM460 hasil menoreh kebun getah keluarga dan wang terbabit mencukupi bagi perbelanjaan tambang kembali ke universiti dan melangsaikan hutang ketika semester pertama," katanya.
Beliau terus menoreh getah setiap kali cuti semester, tetapi mendapati perbelanjaan pengajiannya semester lima dan enam akan jauh lebih tinggi dan keluarga memintanya menjual seekor kerbau diternak mereka kepada seorang saudara yang menjadi pengetua sekolah di Lawas.
Tanpa melihat keadaan kerbau, saudaranya bersetuju membeli haiwan itu dengan harga RM700 yang digunakan bagi menamatkan pengajian di UiTM dan kemudian mendapatkan pembiayaian Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan menjadi kakitangan Petronas sejak 2005.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.