KUALA LUMPUR, 10 Mac - Tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini yang merayu Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama mereka mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat cubaan terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.
Anggota Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap ketika diminta mengulas perkara itu menyifatkan rayuan Rafizi adalah tindakan sia-sia.
"Yang tak bersetuju dengan perdana menteri hanya pembangkang, kami di BN waima baru-baru ini bila ada anggota Parlimen BN dari Sarawak yang diajak supaya tidak menyokong perdana menteri pun, kami menunjukkan rasa setiakawan, kami tetap bersama.
"Saya kira itu hanyalah angan-angan kosong daripada pembangkang. Nampak macam mereka sangat berharap agar kami akan laksanakan perkara itu...buat apa kita nak ikut mereka," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen, di sini.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup pula menegaskan anggota Parlimen BN terutamanya daripada PBRS sama sekali tidak menyokong rayuan Rafizi itu.
Kurup (BN-Pensiangan) berkata PBRS pernah membincangkan perkara itu dan menetapkan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami tidak menyokong usul pihak pembangkang kerana kami percaya bahawa perdana menteri telah bekerja bersungguh-sungguh untuk mentransformasikan rakyat walau pelbagai cabaran dihadapi beliau.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dalam respon ringkasnya berkata :"Dia (Rafizi) pun tidak betul....".
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) secara sinis berkata tindakan Rafizi itu tidak sesuai dengan jawatan yang dipegangnya sebagai naib presiden dan setiausaha agung PKR .
Khairuddin turut menyifatkan Rafizi bersikap kebudak-budakan.
"Lagipun akhir-akhir ini banyak sangat kenyataannya (terhadap PAS) yang tidak layak (dikeluarkan) sebagai setiausaha agung (PKR)," katanya.
Khairuddin berkara walaupun PAS tetap berpendirian untuk menurunkan BN dan Najib, namun ia akan dilakukan melalui pilihan raya dan bukan semata-mata menyingkirkan perdana menteri melalui cara yang tidak betul.
Rafizi (PKR-Pandan) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini dilihat cuba memujuk dengan mencadangkan anggota Parlimen pembangkang dan BN menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.