11 March 2016

Dua Beranak Maut, Perodua Viva Bertembung Dengan Bas Ekspres

SARIKEI - Dua beranak maut, manakala seorang lelaki cedera apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres yang membawa pemain bola sepak Kolej Vokasional Miri di Simpang Bayong, Jalan Sarikei-Saratok di sini hari ini

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang maut ialah Nonadiah Tawi, 65, dan anak perempuannya, Sabariah Raffiee.
Manakala, pemandu kereta Perodua Viva yang juga merupakan suami kepada Nonadiah yang dikenal pasti sebagai Raffiee Senawi, 68, dilaporkan cedera.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 5.03 petang.
Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk tiba di lokasi kejadian dan semasa tiba, mereka mendapati mangsa di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang tersepit dalam kereta terbabit.
"Menurut saksi, Perodua Viva yang menghala ke Miri itu hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.
"Bagaimanapun, pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan manakala 16 penumpang termasuk pemandu bas tersebut tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, katanya, pihak perubatan yang turut berada di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa yang tersepit telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.
Katanya lagi, kesemua penumpang bas ekspres yang terdiri daripada pemain dan jurulatih bola sepak Kolej Vokasional Miri itu dalam perjalanan bagi menyertai Karnival Vokasional dan Teknik (Karvotek) peringkat negeri di Kuching.
"Sebuah bas gantian digunakan untuk membawa kesemua pelajar dan guru pengiring Kolej Vokasional Miri itu bagi meneruskan perjalanan mereka ke Kuching," katanya

- KOSMO

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress