KUCHING: Seorang lelaki yang disifatkan sebagai seorang yang ceria oleh rakannya ditemui mati dipercayai akibat lemas terhidu asap di dalam bilik sebuah rumah di Taman Heng Guan, Matang dekat sini semalam.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata mangsa yang dikenali sebagai Lim, 28, ditemui mati di dalam bilik yang berkunci dari dalam dan turut ditemui dua kuali berisi arang.
“Pihak bomba yang tiba di lokasi mendapati kes dipercayai bunuh diri kerana disyaki mangsa telah memanaskan dua buah kuali berisi arang sehingga bilik dipenuhi asap dan pintu juga telah dikunci dari dalam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang turut dikerahkan ke tempat kejadian,” kata Tiong dalam kenyataannya di sini semalam.
Beberapa anggota polis dari balai polis berhampiran juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, rakan mangsa yang ditemui memberitahu kali terahir bertemu mangsa ialah pada Rabu lepas dan mangsa tidak menunjukkan apa-apa perlakuan yang mencurigakan.
Difahamkan, mangsa yang bekerja di sebuah kedai menjual telefon bimbit gagal dihubungi oleh rakan sekerjanya yang kemudian memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa sekitar tengah hari semalam.
“Dia (mangsa) seorang yang ceria dan sebelum ini dia tidak pernah mengadu apa-apa masalah kepada kami sehingga hari ini (semalam) dia tiba-tiba tidak datang bekerja dan juga tidak dapat dihubungi.
“Risau terjadi apa-apa yang tidak diingini, saya kemudian pergi berjumpa dengan ibu bapanya memaklumkan mengenai perkara tersebut,” kata rakan mangsa yang ditemui di tempat kejadian.
Keluarga mangsa yang tiba sekitar jam 1.30 petang di rumah mangsa terus menghubungi pihak polis dan bomba untuk bantuan selepas menemui keadaan mangsa sedemikian.
Mayat mangsa telah dihantar ke HUS untuk bedah siasat dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.