12 March 2016

RTM Umum Bertanding di DUN Dudong

SIBU: Bekas penyampai dan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Casper Kayong Umping, 64, mengumumkan dirinya akan bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Bercakap pada sidang media di sini kelmarin, Kayong mendedahkan bahawa Dudong memerlukan seorang wakil rakyat berbangsa Iban seperti dimahukan oleh pengundi di peringkat akar umbi.

“Kita telah merasakan selama ini, calon Barisan Nasional (BN) di Dudong sering kali diwakili kaum Cina. Apa salahnya, jika kita meletakkan calon Iban di situ.

“Ini bukan bermaksud saya rasis atau bersikap perkauman kerana saya merasakan Dudong perlu wakil calon Iban kerana jumlah pengundi Ibannya kurang lebih dengan jumlah pengundi Cina.

“Dudong mempunyai banyak kawasan luar bandar dan pengundi Ibannya sangat ramai. Menurut mereka (pengundi), Dudong memerlukan wakil rakyat yang berbangsa Iban kerana kali terakhir DUN Dudong diwakili seorang wakil rakyat Iban ialah Jawan Empaling (BN-SUPP) sekitar tahun 80-an dulu sebelum diganti Datuk Dr Soon Choon Teck,” katanya.

Menurutnya, pengundi Iban di kawasan tersebut telah meminta beliau bertanding pada PRN 2016.

“Ini sudah masuk kali kedua mereka meminta saya bertanding selepas PRN 2011 dulu. Masa itu, saya menolak permintaan mereka kerana tidak mahu mengganggu kedudukan calon BN. Pada PRN 2016 ini, saya bertekad menyahut seruan mereka ini,” jelasnya.

Menurut Kayong, beliau bukan orang asing di Dudong kerana beliau mempunyai keluarga di situ khususnya di Ulu Senggang, Sungai Naman selain pernah berkhidmat sebagai wartawan semasa pilihan raya lalu.

“Selain menjadi penyampai di RTM, saya kerap turun padang untuk membuat liputan mengenai kempen pilihan raya di Dudong. Oleh itu, saya banyak berkenalan dengan ramai orang termasuk bekas ADUN Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck dan bekas Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun tetap memuji inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang banyak membantu serta memberi manfaat melalui dasar-dasarnya kepada rakyat negeri ini khususnya pemansuhan tol Jambatan Lanang.

“Rakyat di Dudong sangat gembira dengan pemansuhan tol tersebut. Tetapi pengundi Iban di Dudong mahu wakil mereka adalah daripada kalangan orang Iban dan mereka memilih saya.

“Tujuan saya bertanding ini bukan untuk menentang kerajaan tetapi berdasarkan suara akar umbi pengundi Iban yang mahukan seorang wakil rakyat berbangsa Iban,” jelasnya.

Ditanya mengenai peluangnya memenangi PRN 2016 ini, beliau berkata peluang tetap ada seandainya pengundi Iban memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.

Katanya 60 peratus daripada pengundi Iban di Dudong adalah saudara-maranya atau yang mempunyai pertalian darah dengannya.

“Bagaimanapun, tidak semestinya semua mengundi saya. Tetapi itu jelas tandanya saya sangat dikenali di Dudong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kayong berkata jika Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merasakan mereka sukar untuk merampas kerusi Dudong daripada pembangkang, mereka boleh berkompromi dengan laluan kepadanya pada PRN ini.

“Saya boleh bekerjasama dengan SUPP demi merampas kerusi Dudong daripada pembangkang. Kami boleh duduk berbincang.

“Dudong memerlukan wakil rakyat Iban kerana populasi pengundi Iban di DUN Dudong kurang lebih dengan jumlah pengundi Cina.

“Jika saya dapat memenangi kerusi DUN Dudong ini atas tiket Bebas, saya berjanji akan menyerahkannya kepada BN kerana saya calon Bebas yang pro-BN.

“SUPP dilihat tidak mahu mengetengahkan calon Iban di Dudong, jadi saya gunakan tiket Bebas  mewakili pengundi Iban,” katanya yang juga seorang penulis popular buku-buku bacaan Iban.

Kayong memberitahu bahawa beliau mampu mendapat 80 peratus sokongan daripada pengundi Iban.

“Seperti yang saya maklumkan tadi, saya tidak asing lagi di Dudong. Justeru, saya tidak perlulah banyak berkempen kerana saya tahu situasi politik di Dudong,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata bagi menghadapi PRN 2016 ini dirinya mempunyai manifesto tersendiri tetapi enggan mendedahkannya kepada media mengenai isi manifestonya itu.

“Manifesto itu biarlah menjadi rahsia dulu. Yang penting, mesti memenangi kerusi Dudong terlebih dahulu. Lepas itu baharu saya dedahkan. Saya tidak mahu manifesto itu hilang begitu sahaja apabila kalah kelak, ” katanya.

“Manifesto itu sudah semestinya memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya.

 --Utusan Borneo 


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress