PUTRAJAYA, 10 Mac - Seorang lelaki Orang Asli hari ini gagal mengetepikan sabitan kesalahan merogol anak tirinya berusia 13 tahun, yang kemudian melahirkan seorang bayi perempuan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman 15 tahun penjara dan 15 kali sebatan terhadapnya kepada 12 tahun dan 10 sebatan.
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim dalam membuat keputusan itu.
Pada 8 Ogos 2014, lelaki berusia 39 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh kerana merogol anak tirinya itu di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Temerloh antara 28 Mei dan 7 Jun 2012.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu ditolak Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 Dis 2014.
Pada prosiding rayuan hari ini, peguam Datuk Ng See Teong yang mewakili lelaki itu memohon mahkamah mengarahkan kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Sesyen dengan alasan anak guamnya tidak sedar akibat daripada tindakannya mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Kata peguam itu, anak guamnya menganut kepercayaan animisme yang membenarkan perkahwinan dengan anak tiri dan di kampungnya (perayu), terdapat lebih kurang empat keluarga terlibat dalam perkahwinan dengan anak tiri.
Menurut fakta kes, bapa kandung budak perempuan berkenaan membuat laporan polis selepas anaknya itu, yang tinggal bersama ibunya dan lelaki terbabit, mengandung.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mohd Zain Ibrahim dalam hujahnya berkata lelaki itu mengaku kepada mahkamah bahawa dia memahami tuduhan yang dikenakan terhadapnya, tetapi tetap mengaku bersalah.
BERNAMA: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1224021
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.