MARUDI: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diingatkan supaya membelanjakan duit bantuan untuk tujuan baik, bukannya membeli minuman keras, berjudi dan sebagainya.
Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong berkata, duit bantuan itu tidak harus diguna untuk membeli minuman keras atau berjudi.
“Kita tidak mahu daripada jumlah RM1,000 wang BR1M diterima itu kelak, hanya tinggal RM100 sahaja bakinya apabila sampai di rumah,” katanya.
Mackos menjelaskan, penerima perlu sedar nilai wang berkenaan untuk perkara lebih berfaedah dan memberi manfaat kepada keluarga masing-masing.
Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Daerah Marudi di Dewan Suarah Baram di sini, semalam.
Sebanyak 447 penerima bagi fasa satu dan dua dalam daerah Marudi hadir menerima penyerahan bantuan itu.
Kata Marcos, mereka yang belum menerima baucar berkenaan boleh menuntut di Pejabat Daerah Marudi pada hari-hari lain (waktu pejabat) kerana pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) sentiasa bersedia di pejabat daerah tersebut.
Mengenai pembahagian jumlah penerima dalam kumpulan lebih kecil, Mackos menjelaskan ia bertujuan memudahkan urusan di kaunter pembayaran dan memastikan keadaan tidak terlalu sesak termasuk memudahkan penerima supaya tidak menunggu lama.
Katanya tidak seperti sebelum ini, dua tiga tahun lalu apabila ribuan penerima membanjiri dewan suarah, hingga menyukarkan kerja mengagih baucar BR1M serta penebusan.
Dalam pada itu katanya, penerima kali ini merangkumi mereka yang berdaftar dengan e-Kasih dan penduduk berpendapatan RM1,000.
“Bagi penduduk di kawasan pedalaman yang tidak mampunyai akaun bank, mereka akan menerima baucar yang boleh ditebus sekali gus (jumlah tidak dibahagi secara berperingkat-peringkat) di kaunter BSN disediakan.
“Bagi mereka yang menerima bantuan melalui akaun, bantuan akan diterima empat kali setahun iaitu pada bulan Februari, April, Jun dan September,” katanya.
Baucar BR1M tidak akan di-hantar melalui pos ke alamat kampung di pedalaman termasuk di Ulu Baram, sebaliknya ia akan diserah terus kepada penerima yang kemudian ditunai sekali gus di kaunter.
Bagi individu diwakili, Mackos berkata penerima terbabit harus menulis surat kebenaran untuk wakil mereka dan ditandatangani dengan jelas sebagai bukti kepada pegawai bertugas kelak.
Mackos menambah kata, mengenai kes membabitkan kematian si penerima pula, warisnya harus membawa dokumen penting seperti sijil mati, kad pengenalan dan sebagainya untuk urusan penerimaan bantuan.
Di Baram dibahagi kepada tiga Pejabat Daerah iaitu Marudi, Beluru dan Long Lama, yang masing-masingnya mempunyai pegawai daerah kecuali daerah kecil Bario yang diletakkan di bawah Pejabat Daerah Miri – yang melibatkan kawasan Long Lelang, Long Seridan dan Long Banga.
Hadir sama menyaksikan proses penyerahan BR1M tersebut ialah Ketua Polis Daerah (KPD) Baram DSP Gabriel Risut, Pegawai Penerangan Marudi Joseph James dan ketua-ketua masyarakat.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.