LANCAR: Rohani (dua kanan) melancarkan Klinik Bergerak LPPKN di Rumah Nunong, Jella Lambir kelmarin, sambil disaksikan tetamu kenamaan lain. |
MIRI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyarankan supaya setiap wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bekerjasama dengan kementerian bagi mengenal pasti individu layak menerima bantuan.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia penting bagi memastikan individu di setiap kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kurang berkemampuan dapat dibantu.
“Kementerian telah menjalankan Program Cari dan Bantu melalui siri Kembara Kebajikan 1Malaysia (KK1M) dengan hasrat mendekatkan kementerian dengan komuniti seterusnya memberi bantuan,” katanya di sini, kelmarin.
Menurutnya, semua jentera seperti wakil rakyat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan sukarelawan JKM hendaklah mencari dan mengenal pasti rakyat layak menerima bantuan.
“Mekanisme ini penting bagi memastikan tiada golongan memerlukan tercicir daripada mendapat bantuan dan perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Sebagai contoh katanya, masih ramai keluarga miskin tidak mendapat bantuan kewangan, OKU tidak berdaftar, kanak-kanak tidak bersekolah, taska tidak berdaftar dan beberapa isu lain.
Sehubungan itu katanya, siri jelajah KK1M antara pendekatan terbaik bagi mendekatkan kementerian dengan komuniti setempat yang memerlukan bantuan segera.
“Kita juga menurunkan kuasa kepada pegawai supaya dapat meluluskan permohonan OKU dalam siri jelajah KK1M agar golongan ini dapat dibantu segera,” jelasnya.
Sementara itu, KK1M diadakan di Rumah Nunong, Jella Lambir kelmarin padat dengan pelbagai pengisian program seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, jualan dan pendaftaran OKU baharu.
Turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, Program Khidmat Bantu di rumah dan perkhidmatan Unit Khidmat Penyayang (UKP) serta persembahan nyanyian.
Seramai 100 sukarelawan JKM serta agensi kerajaan lain melibatkan diri dalam program terbabit dan selepas Miri, kembara akan meneruskan perjalanan ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.