18 March 2016

Dadah: Polis Cekup Tiga Beranak

DICEKUP: Junaidi menunjukkan beg tempat dadah tersebut disimpan oleh pasangan suami isteri terbabit.
MIRI: Tiga beranak diberkas dan sejumlah dadah dipercayai jenis syabu serta ganja berjaya dirampas hasil serbuan polis ke sebuah rumah terletak di Desa Indah, Bandar Baru Permyjaya di sini tengah hari kelmarin.
Berikutan tangkapan itu, pasangan suami isteri terbabit masing-masingnya berusia 41 tahun dan anak lelaki mereka, 17 tahun, kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Junaidi Bujang berkata tangkapan ke atas tiga beranak terbabit dibuat hasil serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Miri diketuai Inspektor Shahibul Najib Kamaruddin ke sebuah rumah terletak di Desa Indah, Jalan Permyjaya Utama, Bandar Baru Permyjaya di sini.
Katanya, dalam serbuan dilakukan sekitar jam 12.30 tengah hari kelmarin, polis menjumpai sebuah beg sandang mengandungi sebuah beg kecil di dalam bilik tidur pasangan terbabit.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg kecil itu berisi sembilan peket plastik kecil mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.69 gram dan 11 paket kecil berisi dedaun kering disyaki ganja seberat 147 gram.
Barang disyaki dadah itu kemudian dirampas dijadikan barang kes dan tiga beranak terbabit kemudian ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis.
“Suspek pertama mula kita jejaki setahun lalu namun telah melarikan diri ke Kuching, Sibu dan Kuala Lumpur setelah mengetahui polis dapat menghidu kegiatannya.
“Suspek hanya kembali ke sini sebulan lalu dan kelmarin berjaya diberkas polis kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah secara kecil-kecilan,” katanya sambil memberitahu nilai rampasan berjumlah RM3,050.
Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di sini petang semalam.
Dalam pada itu menurut Junaidi, polis turut melakukan ujian air kencing ke atas tiga beranak terbabit mendapati hanya pasangan suami isteri terbabit positif dadah jenis Amphetamine.
Sehubungan itu katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39A (2), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memiliki dan menggunakan dadah.
“Buat masa kini, ketiga-tiga suspek sedang direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress