14 March 2016

PKR Pelawa PAS Berbincang Elak Pertindihan Kerusi Bagi PRN Di Sarawak


KUALA LUMPUR, 14 Mac - PKR akan berbincang dengan PAS mengenai calon yang akan diturunkan ada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata perbincangan itu penting bagi mengelak pertindihan kerusi calon pembangkang.

"Hal itu perlu bagi mempertahankan kerusi calon 'satu lawan satu' dan kami harap PAS tidak menolak proses perbincangan.

"Masih ada ruang untuk perbincangan, biasanya kerusi calon ini kita bincang sampailah sebelum penamaan calon," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata perubahan yang ingin dibuat oleh parti pembangkang perlu dibuat secara kolektif bukan secara bersendirian.

PAS baru-baru ini mengesahkan akan meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan bulan depan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu bertanding untuk menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan kepada rakyat negeri ini calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke DUN.

Sebelas kerusi DUN tersebut ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut, katanya.


--BERNAMA 14/03/2016

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress