19 March 2016

Lelaki Lihat Mayat Bayi Dibaham Dua Ekor Biawak Di Semporna

Mayat yang reput dan hancur ditemui petang semalam – Sumber Foto – Kosmo
SEMPORNA : Seorang lelaki terkejut selepas mendapati ‘objek’ yang sedang dibaham dua ekor biawak di bawah sebuah rumah atas air di Lorong 3, Kampung Air, dekat sini, petang Jumaat, adalah mayat seorang bayi. 


Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata bayi yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan oleh lelaki berkenaan ketika dia memandikan anaknya di dalam bilik air rumahnya, pada 3.34 petang.


“Penduduk (lelaki) berkenaan terkejut apabila mengamati objek yang menjadi rebutan dua ekor biawak itu adalah tangan manusia. Lelaki itu terus bertindak mendekati dan mengusir biawak berkenaan daripada memakan objek tersebut,” kata Peter dalam kenyataan di sini Sabtu. 

Katanya lelaki itu yang pergi melihat bayi berkenaan dengan lebih dekat, mendapati objek itu adalah tubuh bayi yang tidak sempurna. 

Lelaki itu kemudian meminta bantuan orang kampung untuk mengutip sisa tubuh yang ada dan segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Tempat penemuan mayat bayi ini telah dilawati dan didapati kawasan itu adalah kawasan rumah atas air, yang dipenuhi sampah sarap. Mayat bayi ditemui ketika air laut sedang surut,” katanya. 


Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.


--Sayang Sabah 19/03/2016

Seleweng Dana Kerajaan: SPRM Tahan Pegawai Kanan Sebuah Kementerian

Antara Barang Yang Disita 
PUTRAJAYA, 19 Mac - Seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian ditahan semalam selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.


Turut ditahan bersama pegawai kanan berusia 56 tahun itu ialah tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor syarikat penganjuran acara.

Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata kesemua suspek berusia antara 28 dan 56 tahun itu ditahan dalam operasi, Ops Tiris di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang yang dijalankan sejak Khamis lalu.

"Modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 itu ialah dengan menggunakan suspek untuk mengarahkan bahagian kewangan agensi di kementerian membuat bayaran kepada 14 syarikat bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.

"Tiada tuntutan dikemukakan oleh syarikat yang sebenarnya dikendalikan oleh anggota sindiket terbabit kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan tersebut memainkan peranan memastikan bayaran dibuat kepada syarikat terbabit," katanya pada sidang media di sini Sabtu.

Azam berkata suspek lelaki yang mula memegang jawatan itu sejak 2008 didapati menerima pelbagai imbuhan daripada kontraktor tersebut dalam bentuk kewangan dan fasiliti seperti dua buah rumah, 12 kereta mewah, 40 beg tangan berjenama, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit serta pemberian kad kredit.

Beliau berkata pegawai kanan itu juga menjalani gaya hidup mewah dengan memiliki peralatan dan hiasan bilik tidur berjenama, barang kemas, jam tangan dan beg tangan yang mana ada barangan tersebut berharga antara 60,000 dan RM600,000.

Pegawai yang mempunyai dua orang anak itu juga didapati kerap berkunjung ke luar negara bersama keluarga menggunakan penerbangan kelas pertama dengan kos kira-kira RM80,000 seorang.

Azam berkata siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan habuan yang diterima suspek ialah RM20 juta termasuk RM8.33 juta baki wang di dalam akaun miliknya yang kini dibekukan.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan juga kesalahan penggubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, katanya.


--BERNAMA 19/03/2016

PEMBANGKANG MAIN PERSEPSI JAHAT, KERAJAAN TAK PERNAH MANSUHKAN BIASISWA JPA

KERAJAAN TIDAK PERNAH MANSUHKAN BIASISWA JPA, RM1.65 BILION DIPERUNTUKKAN TAHUN 2016
KUALA LUMPUR –  Walaupun kini negara berdepan dengan cabaran ekonomi semasa Kerajaan terus bertanggungjawab bagi memastikan bidang pendidikan menjadi keutamaan. Berhubung tajuk laporan di media “Kerajaan jimat RM240j setahun pembatalan biasiswa”, telah mendapat reaksi banyak pihak.
2.​Ingin ditegaskan bahawa saya selaku menteri yang bertanggungjawab bagi menjawab soalan JPA di Dewan Rakyat telah memberi jawapan kepada soalan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta anggaran jumlah kos yang dijimatkan bila Kerajaan membatalkan 700  biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar Negara serta jumlah pelajar yang belajar di luar Negara di bawah tanggungan Kerajaan dan kos yang terlibat.   
3.​Menerusi jawapan yang dikeluarkan, saya menyatakan anggaran jumlah kos yang dijimatkan bila Kerajaan membatalkan 744 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah sebanyak RM240 juta. Walaubagaimana pun , penajaan kepada 744 pelajar tersebut diteruskan bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam negara seperti yang diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari 2016.
4.​Kerajaan masih meneruskan penajaan kepada seramai 49,060 pelajar yang terdiri daripada 41,324 pelajar di dalam negara dan 7,736 pelajar di luar negara. Dengan ini saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak pernah memansuhkan biasiswa JPA sebagaimana yang didakwa oleh pelbagai pihak. Bagi tahun 2016 sahaja kerajaan telah memperuntukkan RM1.65bilion bagi menanggung biasiswa pelajar tajaan JPA. Jelas menunjukkan Kerajaan tidak pernah mengenepikan soal pendidikan, justeru itu saya berharap semua pihak tidak mempolitikan isu ini  dan mengelirukan rakyat.
5.​Kerajaan akan mengeluarkan penerangan terperinci mengenai Program Tajaan JPA secara keseluruhan dalam masa terdekat.
DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
19 MAC 2016

DUN Sarawak Akan Dibubar Dua Minggu Lagi?

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkemungkinan akan dibubarkan dalam tempoh dua minggu akan datang bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) ke 11.

Memetik kenyataan pemimpin veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos dalam satu laporan akhbar beliau memberitahu kepada pemberita The Star mengenai pembubaran itu dijangka berlaku minggu depan atau selewat-lewatnya minggu pertama bulan April.

Ini adalah kerana Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah mencadangkan tarikh 18 sebagai hari penamaan calon dan 30 April untuk hari mengundi.

Walaubagaimanapun, keputusan mengenai tarikh tsebut masih terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Minos juga menambah bahawa terdapat gambaran bahawa pilihan raya akan diadakan pada bulan April.

Akan tetapi SPR akan menentukan kesemuanya kerana ia berpandukan faktor-faktor lain seperti keselamatan, cuaca dan persiapannya sendiri, jadi tarikh itu tidak semestinya 18 dan 30 April.

Dalam pada itu, menurut seorang penganalisis politik Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS) berkata pilihan raya berkemungkinan besar akan diadakan pada 7 Mei atau selewat-lewatnya 14 Mei.

Pada tahun 2011, DUN Sarawak dibubarkan pada 21 Mac, dengan penamaan calon pada 6 April dan pengundian pada 16 April.

Walikota Mukah Diumum Calon DUN Balingian

MUKAH: Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) Kaunselor Yakub Arbi diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Pilihanraya Negeri ke-11 (PRN-11) ini nanti.

Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Hj Satem ketika merasmikan program Sejiwa Senada Mukah disini sebentar tadi.

Yakub adalah anak jati Kampung Masjid Balingian yang telah berkecimpung dan aktif dalam politik sejak 31 tahun lalu.

Beliau merupakan graduan Ekonomi dari Universiti Deakin di Australia dan merupakan usahawan berjaya sebelum dilantik sebagai Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah.

Ketika ditemui pemberita sejurus pengumuman tersebut, Yakub berterima kasih kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan.

"Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana melantik saya sebagai calon N58 Balingian, saya berjanji akan membawa kemenangan yang cemerlang," katanya.

Beliau yang menyifatkan pencalonannya sebagai cabaran dan tanggungjawab yang besar, namun pengalamannya selama 31 tahun dalam politik Mukah akan membantunya memberi perkhidmatan yang baik kepada penduduk Balingian dan juga parti.

Adenan Isytihar 22 Julai Cuti Umum Sarawak

Mukah : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan tarikh 22 Julai akan menjadi tarikh cuti umum khas untuk negeri Sarawak.

Katanya, cuti tersebut adalah sebagai memperingati pejuang-pejuang Sarawak pada masa dahulu yang berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British
"Saya mengisytiharkan tarikh 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak dan menjadikan ia cuti umum di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Program Sejiwa Senada Mukah bertempat di Dataran Pehin Setiaraja di sini, pagi tadi.

Pengumuman tersebut disambut dengan sorakan gemuruh penduduk sekitar Mukah dengan melaungkan tanda setuju kepada Ketua Menteri.

Walaubagaimanapun, Hari Kemerdekaan 31 Ogos untuk Malaysia akan tetap diraikan bersama. 

‘Kalau Saya Nak Rompak, Dah Lama Saya Rompak Pahang’ - PM

KUANTAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertindak membidas segala tohmahan yang sering dilemparkan oleh puak yang ingin menjatuhkannya dan menepis dakwaan bahawa beliau bukanlah seorang ‘pencuri harta rakyat’ seperti yang digambarkan oleh golongan tersebut.
Menurutnya, rakyat seharusnya lebih mengenali beliau dan menolak segala tuduhan yang dilemparkan oleh puak pembangkang kerana apa sahaja yang dilakukan oleh mereka hanyalah berlandaskan satu matlamat, iaitu untuk menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin nombor satu negara.
"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.
"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.
"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Najib yang juga Presiden Umno percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri.
Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya 'diserang' daripada pelbagai sudut.
"Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.
"Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana perkara itu lebih kepada politik persepsi.
Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan.
Di Pahang sendiri katanya, sebanyak 39,000 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun sasaran awal hanya sebanyak 19,000 unit.
"Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya.
Beliau berkata, rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat.

KPS Nafi Terlibat Anjur Tour of Sarawak 2016


KUCHING - Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak atau agensi kerajaan negeri yang lain tidak pernah terlibat sama sekali dalam penganjuran perlumbaan berbasikal Jelajah Sarawak (ToS).

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak Kameri Affandi berkata perlumbaan dari Miri ke Kuching itu adalah anjuran sepenuhnya syarikat dari Semenanjung Malaysia, Faidz Industries Sdn Bhd manakala kementerian hanya membantu melancarkan pelaksanaannya dari segi penyelarasan.

"Dengan penjelasan ini, adalah diharap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak dan kerajaan negeri tidak diheret ke dalam kemelut yang melanda perlumbaan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengurus Projek Mohd Fadzli Mat Yusof dalam sidang medianya di sini semalam, menjelaskan ToS terpaksa dibatalkan setelah penaja menarik diri pada saat akhir.

Pelbagai pihak menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pembatalan perlumbaan itu pada saat akhir kerana selain menimbulkan kesulitan kepada peserta khususnya dari luar negara yang sudah berada di Miri, pembatalannya juga menjelaskan imej Sarawak.

Menteri Muda Sukan Sarawak Datuk Lee Khim Shin yang kesal dengan pembatalan perlumbaan itu berkata ia telah menjejaskan nama baik bandar Miri dan negeri Sarawak, dan mengarahkan pegawainya menyiasat perkara berkenaan.


--KLXpress 19/03/2016

Pesawat Flydubai Terhempas, Semua Terkorban

KUALA LUMPUR - Sebuah pesawat Flydubai, penerbangan FZ981, terhempas ketika mendarat di Rostov-on-Don di tenggara Rusia, mengakibatkan kesemua 59 penumpangnya, termasuk anak kapal, terkorban.
 
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.40 pagi (waktu tempatan), lapor Pusat Kecemasan Rantau Selatan negara itu, pada Sabtu.
 
Pengawal trafik udara dan perkhidmatan kecemasan tempatan mengesahkan pesawat boeing, B737 tersebut terhempas berhampiran landasan terbang ketika keadaan jarak penglihatan tidak baik.
 
"Menurut data awal, pesawat Boeing 737 terhempas dalam keadaan jarak penglihatan yang teruk, antara 50 hingga 100 meter di kiri landasan terbang," kata sumber.
 
"Menurut data awal, pesawat itu terhempas semasa cubaan (pendaratan) kedua," kata sumber kepada Interfax.
 
Kesemua anak kapal dan penumpang pesawat itu terbunuh, menurut Kementerian Kecemasan serantau.
 
"Semasa hendak melakukan pendaratan sebuah pesawat Boeing 737 terhempas. Ia membawa 55 penumpang. Kesemua mereka terkorban,"kata seorang jurucakap serantau kepada TASS.
 
Boeing Airlines dalam satu catatan di Twitter berkata pihaknya telah mendapat laporan dan sedang mendapatkan maklumat mengenai nahas tersebut masa ini.
 
Flydubai merupakan syarikat penerbangan kos rendah yang beroperasi di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa di Dubai.

SEB sedia sistem solar untuk penduduk pedalaman

JIMAT DAN MUDAH: Penduduk di Rumah Manggat tidak lagi bergantung kepada tenaga elektrik daripada jana kuasa.
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) meneruskan usaha membekalkan kemudahan elektrik kepada penduduk yang tinggal di hulu sungai Batang Ai.
Terkini, sebuah rumah panjang di Engkari akan dipasangkan dengan sistem solar rumah (SHS) di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEB.
Projek yang menelan kos RM3 juta itu hasil komitmen pemaju tenaga dan utiliti kuasa untuk penduduk di situ sempena ulang tahun ke-30 Stesen Tenaga Hidro Batang Ai.
Selain itu, SEB turut memanjangkan inisiatif SHS dengan menambah sistem simpanan sejuk beku solar (SFS) di setiap rumah panjang bagi memudahkan penduduk menyimpan makanan segar mereka.
Naib Presiden Esekutif SEB Aisah Eden berkata, SEB merancang untuk melebarkan projek solar rumah di bawah program tersebut di beberapa kampung di Ulu Delok yang akan memberi manfaat kepada 53 isi rumah.
Katanya teknologi baharu itu bersifat mesra alam dan hijau dan ia merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk kawasan yang sukar dicapai.
“Kami mahu memastikan masyarakat di Batang Ai dan sekitarnya mendapat manfaat dengan kehadiran kami di sini,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini, kelmarin.
Penggunaan SHS sudah pastinya memberi penjimatan kepada penduduk di kawasan Batang Ai daripada terus bergantung kepada sumber tenaga daripada jana kuasa.
Fasa pertama projek itu dilaksanakan di Rumah Kino dan Rumah Manggat di Menyang pada Disember 2014 dengan kerjasama penduduk kampung.
Selepas itu ia dipanjangkan ke Nanga Jengin dan Ulu Delok yang pastinya memberi manfaat kepada penduduk di Rumah Griffin, Jangong dan Ninting yang siap bulan lalu.
Dalam dua fasa itu, kesemua SHS berjaya dipasang di 63 rumah yang memberi manfaat kepada 300 penduduk melibatkan kos RM2 juta.
Fasa ketiga pula melibatkan kawasan Engkari yang mana kerja-kerja pemasangan akan dijalankan pada bulan depan di Ruman Brown, Ng Stapang dan dijangka akan memberi manfaat kepada 16 rumah melibatkan 80 penduduk kampung.
Projek itu dijangka akan siap September tahun ini yang mana ia dilaksanakan secara gotong-royong bersama penduduk setempat dan kakitangan SEB sendiri.
Selain itu, latihan juga diberikan kepada penduduk terlibat dalam projek tersebut bagi menguruskan sistem berkenaan.
Majlis perasmian projek di Rumah Kino bulan lalu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh.
Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Stesen SEB bagi Stesen Tenaga Hidro Batang Ai Encharang Ngtingih dan Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan Goh Chin Chai.
Selain itu, pendawaian dalaman dipasang semula di setiap rumah panjang yang terlibat dalam projek tersebut.

Pemilik kad kredit rugi RM23,000 ditipu ‘peguam’

SIBU: Seorang lelaki membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu kira-kira RM23,000 oleh seorang lelaki memperkenal dirinya sebagai peguam bagi mengurus pembayaran kad kredit miliknya.
Menurut pengadu yang berusia 59 tahun, dia  meminta peguam berbangsa India  untuk menguruskan pembayaran sebanyak tiga kad kredit sejak September 2011.
Pada mulanya, pengadu telah berjumpa secara peribadi dengan peguam tersebut dan menyerahkan sebanyak RM4,000 untuk menguruskan pembayaran kesemuanya tiga kad kredit milik pengadu.
Disebabkan percaya kepada peguam tersebut, pengadu hanya membuat pembayaran melalui mesin deposit tunai ke dalam akaun milik peguam berkenaan setiap bulan.
Bagaimanapun, pengadu mula curiga selepas menerima panggilan telefon daripada bank pada Januari lalu, menyatakan kad kreditnya masih belum dibayar sejak 2009.
Rasa terperdaya oleh peguam berkenaan, pengadu cuba mendapatkan kepastian namun usaha pengadu menghubungi lelaki itu gagal setelah telefon bimbitnya tidak aktif sehingga sekarang.
Pelbagai usaha dilakukan oleh pengadu untuk mencari lelaki tersebut sehingga dia nekad untuk membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Khoo ketika dihubungi memberitahu bahawa laporan kes telah diterima oleh pihaknya.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki menipu.

Budak lelaki menderita, kemaluan terlebih potong ketika disunat

Gambar Hiasan
KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menderita selepas 2.5 sentimenter alat sulitnya dipotong ketika disunat di sebuah klinik swasta di Kota Samarahan dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa pihaknya juga telah menahan seorang doktor untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes tersebut berlaku pada 14 Mac lalu apabila kanak-kanak malang tersebut dihantar oleh datuknya untuk berkhatan iaitu sekitar jam 8.40 pagi.
Bagaimanapun, berlaku komplikasi ketika proses tersebut berjalan menyebabkan kanak-kanak tersebut terpaksa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
“Mangsa terpaksa menjalani pembedahan kerana berlaku pendarahan yang teruk dan selesai pembedahan tersebut mendapati 2.5 sentimeter alat kemaluannya telah dipotong semasa disunat menyebabkan ia tidak dapat disambung semula.
“Mangsa kini masih menerima rawatan di HUS,” kata Dev ketika ditanya semalam.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana membuat perlakuan yang membahayakan nyawa awam.

Adenan umum Yakub untuk Balingian, Yussibnosh pindah Tellian, Fatimah kekal di Dalat

MUKAH: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan tiga calon Barisan Nasional (BN) di bawah Parlimen Mukah untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.
Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) Abdul Yakub Arbi yang juga anak kelahiran Kampung Masjid Balingian akan dicalonkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.
Pengumuman muka baharu itu melenyapkan semua spekulasi sebelum ini yang antara lain turut membariskan nama Faridah Osman yang telah dilantik sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri baru-baru ini.
Calon BN bagi DUN Dalat kekal Datuk Fatimah Abdullah sementara Yussibnosh Balo yang merupakan ADUN Balingian akan berpindah ke kerusi baharu iaitu DUN Tellian.
Ketiga-tiga calon tersebut adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Adenan yang merupakan Pengerusi BN Negeri Sarawak mengumumkan perkara tersebut semasa merasmikan Program Sejiwa Senada Bahagian Mukah 2016 di Dataran Pehin Setia Raja di sini.
Justeru, Adenan menyeru agar pengundi di bahagian ini mengundi mereka bertiga bagi membolehkannya diberi mandat untuk lima tahun lagi.
--Utusan Borneo 19/03/2016

Kanak-kanak Perempuan Mendakwa Dirogol Adik

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mengadu dirogol oleh adik lelakinya yang berusia lapan tahun sebelum dia dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata, mangsa tinggal di sebuah rumah kebajikan swasta di pusat bandar raya ini dan dilihat murung sejak pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Menurutnya, mangsa selepas dipujuk kemudian mengadu kepada pekerja di rumah kebajikan tersebut bahawa dia telah dirogol oleh adik kandungnya di rumah ibunya di Batu 12 Jalan Penrissen.
“Mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis oleh pekerja di rumah kebajikan tersebut sebelum dia dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS)untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan perubatan tidak menunjukkan sebarang kesan koyakan namun ada kesan melecet dipercayai akibat cubaan untuk memasukkan sesuatu,” kata Dev dalam satu kenyataan ketika ditanya semalam.
Dev selain itu turut memberitahu bahawa suspek yang juga tinggal bersama kakaknya di rumah kebajikan tersebut telah disoal siasat dan dia mengaku melancap sebelum cuba merogol kakaknya.
“Dia juga mendakwa bahawa sebelum ini pernah melihat bapanya melakukan perkara yang sama kepada kakaknya dan dia cuba meniru perbuatan tersebut,” jelas Dev lagi.
Pada 2011, bapa mangsa cuba merogolnya ketika dia berusia enam tahun menyebabkan bapanya ditahan dan disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara lima tahun serta sebatan.
Difahamkan, merujuk seksyen 113 yang menyatakan bahawa terdapat andaian yang tidak dapat disangkal di bawah undang-undang kerana seorang kanak-kanak berusia 13 tahun tidak berupaya untuk melakukan rogol.
Justeru, kanak-kanak tersebut tidak boleh didakwa di mahkamah sungguhpun terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan kepada kesalahannya.
“Bagaimanapun, polis tetap akan melengkapkan siasatan dan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.
“Kedua-dua kanak-kanak terbabit akan disoal selanjutnya oleh kaunselor daripada Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) pada Isnin ini,” Kata Dev lagi.

18 March 2016

Rakaman Suara Video Viral Sahkan Komplot Jatuhkan PM

PETALING JAYA: Satu video mengandungi rakaman suara tanpa visual sebenar yang disebarkan di media sosial mengesahkan mengenai wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rakaman suara mirip bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dipercayai dirakam dalam satu majlis tertutup sebelum beliau digantung jawatan dalam Umno.

Berdasarkan penelitian, rakaman suara berkenaan telah disunting oleh pihak tertentu.

Pada awal video berkenaan, terdapat montaj bergambar yang bertulis: "9 September 2015. TSMY mengaku wujudnya KOMPLOT untuk menjatuhkan Najib.

"TSMY mengaku bahawa Dana Khas Umno yang diuruskan oleh presiden ialah perkara biasa dari dulu lagi."

Berdasarkan rakaman itu, pemilik suara yang kedengaran mengaku sebagai 'Muhyiddin Yassin' beberapa kali menyentuh mengenai komplot menjatuhkan kerajaan.

"Mungkin setengah pihak meramalkan akan ada satu tindakan luar biasa daripada saya. Kalau mengikut sejarah, apa yang berlaku dalam Umno selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dipecat dan sebagainya.

"Tapi saya nak jelaskan i'm not Anwar Ibrahim. Saya Muhyiddin Yassin," katanya sambil kedengaran bunyi tepukan.

"Hingga bila ada soal isu komplot, ni Datuk Zahid ada sini...komplot untuk menjatuhkan kerajaan, saya tidak terlibat.

"Walaupun ada usaha dibuat oleh beberapa pihak datang jemput saya untuk bersama-sama, saya kata no, i'm not part of that exercise," katanya.

Difahamkan majlis yang dihadiri pemilik suara itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tidak terlibat dalam soal itu, saya tahu siapa yang terlibat, saya tahu apa yang mereka nak buat.

"Bukan kata nak menumbangkan kerajaan, nak menukar perdana menteri...itu pun saya tak terlibat dalam soal itu.

"Ini Datuk Timbalan Perdana Menteri mesti ada maklumat SB (cawangan khas) dan sebagainya. Saya tahulah...itu sistem kerajaan kita," katanya.

Selain itu rakaman tersebut juga menyentuh mengenai kontroversi derma politik kepada Umno.

"Kalau Datuk Seri ingat, saya pun tak pernah soalkan, i never ask. Saya menjadi timbalan presiden tahun 2009 sampailah sekarang.

"Tapi tak pernah pun persoalkan tentang dana khas ini, kerana saya tahu sejak dulu pun bahawa dana khas ini adalah dana yang diuruskan oleh presiden sendiri," katanya.

Kerajaan Selangor Didakwa Lebih Utamakan Kempen Bebas Anwar Berbanding Kempen Perangi Denggi

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor yang lebih mengutamakan kempen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding kempen memerangi denggi yang menjadi masalah dan ancaman utama kepada rakyat negeri itu.

Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berkata kerajaan negeri lebih banyak memasang papan tanda kempen membebaskan bekas ketua pembangkang itu berbanding papan tanda memerangi denggi.

“Mengapa di negeri Selangor, papan-papan tanda bebaskan Anwar Ibrahim begitu banyak sekali, nak dibandingkan dengan papan tanda perangi denggi, lebih banyak papan tanda bebas Anwar.

Sedangkan di Selangor masalah denggi cukup penting. Pada tahun 2014 mencatatkan 77 kematian, tahun lalu 177 kematian manakala setakat Mac tahun ini 17 kematian,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada kerajaan Selangor sejak 2013 hingga Mac tahun ini sedangkan kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM2 juta untuk kempen memerangi denggi.

Dalam pada itu, Noh berkata kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) juga telah meluluskan 289 projek bernilai RM18.37 bilion di Selangor.

Menurutnya pemimpin Selangor seharusnya berterima kasih kepada kerajaan pusat yang telah banyak membantu negeri itu selain menikmati kemudahan prasarana yang disediakan kerajaan BN ketika memerintah negeri itu sebelum ini.

Penganjur 'Tour Of Sarawak' Berdepan Hukuman Berat

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta agar Pejabat Pesuruhjaya Sukan menyemak bentuk tindakan dalam Akta Pembangunan Sukan yang boleh dikenakan ke atas penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Sarawak (ToS) 2016 yang membatalkan kejohanan tersebut pada saat-saat akhir.

Katanya, tindakan penganjur itu amat memalukan dan dalam masa sama mencalarkan imej Malaysia dalam penganjuran sukan peringkat antarabangsa.

Tambahnya, syarikat dan individu yang bertanggungjawab dalam penganjuran tersebut akan disenarai hitam sekali gus tidak layak memohon lesen penganjuran sesuatu kejohanan.

“Ini menunjukkan penganjur tidak bersedia dan tidak mempunyai pembiayaan yang cukup, dan yang penting kita mahu memastikan perkara ini tidak berulang dengan meminta Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ini juga adalah untuk memastikan penganjur lain sedar bahawa Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak memandang ringan terhadap sesuatu penganjuran yang tidak berjaya dan penganjur yang tidak memenuhi janji kepada peserta dan kerajaan apabila memohon lesen,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini semalam.

ToS yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 20 Mac bermula dari Miri dan berakhir di Kuching, merupakan anjuran Fadz Industries Sdn. Bhd. serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) de­ngan kerjasama kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pemba­ngunan Sosial dan Kementerian Pelancongan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tertarik dengan cadangan Majlis Para­limpik Malaysia (MPC) untuk menggabungkan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada Ogos tahun hadapan.

Katanya, cadangan tersebut dilihat mempunyai kelebihan tersendiri selain unik dan jika dilaksanakan akan menjadi yang pertama kali dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut harus diperhalusi oleh Sekretariat Sukan SEA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zolkples Embong.

“Secara peribadinya saya amat tertarik dengan cada­ngan tersebut dan percaya ada kelebihan dari segi semangat kesukanan.

“Menggabungkan dua temasya yang sama dan meraikan pada masa sama adalah sesuatu yang kali pertama dalam sejarah jika diadakan, malah dapat membantu kita dari segi pengurusan kos,” katanya.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress