18 March 2016

Disyaki Dirogol Datuk Tiri, Ibu Bawa Lari Anak

SIBU: Seorang ibu melarikan diri bersama dua anaknya ke rumah saudara mereka di sini selepas mengesyaki anak sulungnya berumur 10 tahun menjadi mangsa rogol datuk tiri kanak-kanak itu di Kota Samarahan.
Setelah dimaklumkan mengenai tekanan hidup dan punca mereka melarikan diri, pengadu, 48, yang merupakan saudara terdekat menasihatkan ibu mangsa supaya melaporkan kes itu kepada pihak polis.
Difahamkan, ibu mangsa dan dua anaknya berumur 10 dan lapan tahun tinggal bersama nenek dan datuk tiri mereka di sebuah rumah di Kota Samarahan.
Menurut kisah dicerita ibu mangsa yang juga ibu tunggal, dia nekad untuk melarikan diri bersama anak-anaknya kerana mengesyaki anak perempuan sulung telah dinodai datuk tirinya.
Ibu mangsa percaya bapa tirinya telah melakukan perbuatan terkutuk tersebut sebanyak lima kali pada 2015 dan dua kali pada tahun ini.
Difahamkan kali terakhirnya mangsa disyaki dirogol oleh datuk tirinya pada awal Mac lalu.
Bersimpati dengan beban ditanggung ibu mangsa, pengadu telah membawa mangsa dan adiknya pergi ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis sekitar jam 10 pagi semalam.
Bertindak daripada maklumat, pihak polis di sini menghantar mangsa dan adiknya ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan sehingga berita ini ditulis, keputusan perubatan belum diperolehi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Khoo ketika dihubungi memberitahu laporan kes tersebut telah diterima pihaknya dan kes telah dirujuk kepada polis Kota Samarahan.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress