13 March 2016

Syarikat Dan Kontraktor Laksana Lebuhraya Pan Borneo Digesa Ambil Pekerja Tempatan - Adenan

LUNDU: Syarikat dan kontraktor yang melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini digesa mengambil pekerja tempatan yang tinggal di sekitar projek tersebut dijalankan.

Perkara itu ditegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang memberitahu keutamaan harus diberi kepada penduduk tinggal berdekatan projek.

Katanya, ia untuk memastikan rakyat negeri ini tidak berputih mata dalam menikmati setiap pembangunan dibawa kerajaan.

Malah, katanya, beliau akan meminta senarai nama pekerja diambil syarikat berkenaan bagi memantau perkara tersebut.

“Kita ada tiga projek besar di Lundu, nombor satu projek Lebuh Raya Pan Borneo bermula di Sematan, Lundu hingga ke Lawas menelan kos RM16 bilion.

“Saya memaklumkan kepada syarikat tersebut, ambil orang Lundu bekerja di sini (bagi projek di Lundu) jangan ambil orang luar.

“Kita tidak mahu putih mata dan saya mahu senarai nama pekerja. Utamakan orang sendiri. Begitu juga kontrak lain yang dapat dibuat orang tempatan, berikan kepada orang kita sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Kompleks Sukan Lundu di sini semalam.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan tetamu kehormat lain.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu berkata, penglibatan penduduk setempat berdekatan projek mega itu secara langsung membantu meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Pada masa sama, beliau menggesa golongan hartawan atau orang kaya agar tampil bersama-sama kerajaan membantu golongan kurang bernasib baik negeri ini.

“Jangan harap kerajaan semata-mata, kita harus seikhlas hati menolong orang miskin. Jadi saya ingin menyeru orang kaya di Sarawak agar menjadi seorang murah hati, kalau kita murah hati dengan orang, Tuhan memberkati kita,” tambahnya.

Justeru, Adenan memberitahu beliau sentiasa membuka pintu kepada golongan hartawan, ahli korporat dan orang kaya yang ingin mempelawanya hadir ke majlis mereka.

“Asalkan mereka ingin memberikan sumbangan diagihkan kepada orang miskin, saya akan hadir dan bernyanyi pada majlis mereka,” katanya sambil menambah sehingga kini wang kutipan amal berjaya dikutipnya hasil nyanyian amal sudah mencecah RM3.6 juta. -Utusan Borneo-

 --KLXpress 13/03/2016 


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress