KUALA LUMPUR – Seorang anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor yang lebih mengutamakan kempen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding kempen memerangi denggi yang menjadi masalah dan ancaman utama kepada rakyat negeri itu.
Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berkata kerajaan negeri lebih banyak memasang papan tanda kempen membebaskan bekas ketua pembangkang itu berbanding papan tanda memerangi denggi.
“Mengapa di negeri Selangor, papan-papan tanda bebaskan Anwar Ibrahim begitu banyak sekali, nak dibandingkan dengan papan tanda perangi denggi, lebih banyak papan tanda bebas Anwar.
Sedangkan di Selangor masalah denggi cukup penting. Pada tahun 2014 mencatatkan 77 kematian, tahun lalu 177 kematian manakala setakat Mac tahun ini 17 kematian,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada kerajaan Selangor sejak 2013 hingga Mac tahun ini sedangkan kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM2 juta untuk kempen memerangi denggi.
Dalam pada itu, Noh berkata kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) juga telah meluluskan 289 projek bernilai RM18.37 bilion di Selangor.
Menurutnya pemimpin Selangor seharusnya berterima kasih kepada kerajaan pusat yang telah banyak membantu negeri itu selain menikmati kemudahan prasarana yang disediakan kerajaan BN ketika memerintah negeri itu sebelum ini.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.