KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menafikan dakwaan bahawa beliau sebagai ejen UMNO.
Malahan kata ketua penerangan PBB itu, isu berkenaan bukan sahaja dilemparkan kepada dirinya tetapi sudah lama dipergunakan pembangkang malahan terhadap pemimpin BN lain.
“Seperti biasa ia dimainkan sejak dahulu lagi, termasuk Datuk Amar Abang Johari menggunakan isu berkenaan dan kini ia dikaitkan dengan saya.
“Saya sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kerja Raya sudah semestinya saya berhubung dengan pemimpin di persekutuan bukan sahaja UMNO tetapi MCA dan MIC.
“Namun saya percaya pembangkang akan menggunakan saya bersama pemimpin UMNO dan memutar belit perkara ini sedangkan saya banyak juga berhubung dengan parti lain sebagai kerjasama di bawah satu bumbung, iaitu BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Persiapan Jentera PRN Zon Kuching yang disempurnakan Timbalan Presiden PBB merangkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Ketua Pemuda PBB merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di ibu pejabat PBB di sini, semalam.
Selain dakwaan ejen UMNO, Fazzrudin yang juga timbalan ketua Pemuda PBB Cawangan Tupong didakwa memilik beberapa kereta mewah dan stesen minyak Petronas Taman Hui Sing.
“Mereka menyifatkan kereta itu kereta mewah kerana mereka tidak tahu atau tidak memeriksa nilai sebenar.
“Saya menggunakan kereta tersebut di Kuala Lumpur dan banyak membantu rakan dari Kuching sama ada membawa ke hospital mahupun membawa anak-anak mereka ke institusi pengajian tinggi,” tegasnya.
Bagaimanapun beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu menyerahkan ia kepada pengundi kerana mereka lebih memahami dan lebih bijak mengenalpasti fakta yang benar.
Sementara itu mengenai keyakinan BN menang di Tupong, Fazzrudin berkata rakyat dapat menilai prestasi parti sebelum ini dan berharap dapat menjalin kerjasama rapat dengan semua rakyat di kawasan itu demi pembangunan Tupong.
“Ia hasil daripada pembangunan yang dijalankan oleh Datuk Daud Abdul Rahman (penyandang Tupong) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (Ahli Parlimen Petra Jaya). Saya akan meneruskan kesinambungan di bawah parti BN,” ujarnya.
Malahan antara isu yang akan terus ditekankan lagi adalah mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Matang yang kini dalam proses pembinaan bagi projek berkaitan.
Ia kata beliau termasuk membina ‘underpass’ di bulatan Datuk Abang Kipali Abang Akip di Petra Jaya bagi mengurangkan kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.