07 April 2016

Laporan PAC Buktikan PM Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR - Pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bebas dari sebarang salah laku. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, segala tuduhan yang dikaitkan dengan Najib selama ini ternyata tidak berasas dan bermotifkan politik.
"Laporan PAC pada hari ini membuktikan bahawa tiada salah laku jenayah dalam syarikat milik Kementerian Kewangan itu seperti yang didakwa pembangkang. Selain itu, Laporan PAC turut mengesahkan bahawa tiada sebarang penyelewengan kewangan dan tiada duit yang hilang seperti yang didakwa sebelum ini.
"Dalam masa yang sama PAC mengesahkan bahawa YAB Perdana Menteri bukan sahaja tidak melakukan sebarang kesalahan, malah tidak menyumbangkan kepada kesalahan jenayah. Terbukti segala tuduhan tuduhan dan tohmahan terhadap YAB Perdana Menteri selama ini adalah tidak berasas dan hanya bermotifkan politik semata-mata yang berniat untuk menjatuhkan YAB Perdana Menteri secara tidak demokratik," kata Azalina melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa yang sama menegaskan bahawa PAC menjalankan siasatan dengan telus dan tanpa berselindung.
"PAC adalah jawatankuasa bi-partisan yang dianggotai oleh wakil pembangkang dan kerajaan. Proses siasatan yang dijalankan secara transparen dengan memanggil saksi-saksi yang berkaitan serta menggunakan dokumen-dokumen sokongan yang sah," jelas Ahli Parlimen Pengerang itu lagi.
Hari ini PAC membentangkan laporan 1MDB di Parlimen setelah siasatan dijalankan ke atas syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu.
PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress