08 April 2016

Isu RM2.6bilion : Bagaimana Bank Negara Boleh Terlepas Pandang?

KUALA LUMPUR – Blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin mempersoalkan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiga tahun lepas ketika transaksi RM 2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Memetik laporan di Malaysia Today, beliau menegaskan bahawa Bank Negara sepatutnya dapat mengenalpasti perkara tersebut kerana sebarang pemindahan tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara tanpa sebarang notis atau kesan walaupun hanya melibatkan pemindahan wang sebanyak RM100,000.
“Adakah Perdana Menteri menyeludup masuk wang tersebut di dalam bentuk tunai melalui kontena dan tidak mengisytiharkan wang tersebut kepada pihak Bank Negara? Atau adakah wang tersebut dipindahkan secara terbuka atau melalui saluran normal ke dalam akaun peribadi Najib?
“Jika Perdana Menteri memilih untuk menggunakan kaedah kedua, iaitu pemindahan secara terbuka atau melalui saluran normal, maka wajarkah sekiranya Bank Negara tidak mengetahui perkara itu? Kita sedang bercakap mengenai transaksi bernilai RM 2.6 bilion. Ia terjadi tiga tahun lepas dan mengapa Bank Negara tidak menyekat, mahupun bertindak pada masa itu?
“Bukankah Bank Negara telah sedia maklum dan tahu mengenainya serta memberi kelulusan mengenai hal tersebut tiga tahun lalu? Dan jika begitu, mengapa mereka bertindak seolah-olah mereka tidak jelas, tidak tahu dan tidak sedar mengenai apa yang berlaku?” soal Raja Petra dalam tulisan di portal berita, Malaysia Today.
Difahamkan, portal berita tersebut telah digodam pada Selasa lalu sebaik sahaja persoalan tersebut di muat naik dan kembali berjalan seperti biasa sejam kemudian selepas Raja Petra memindahkan server melalui negara lain.
“Saya mengesyaki artikel tersebut merupakan punca server saya digodam oleh segelintir penyokong anti-Najib dengan tujuan supaya pembaca tidak boleh membacanya,” ujarnya lagi.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress