08 April 2016

1MDB: SPRM Akan Jalan Siasatan Jika Ada Aduan

KUALA LUMPUR – Susulan desakan dari Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang menggesa Ketua Polis Negara segera menjalankan siasatan ke atas bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi Azral serta lembaga pengarahnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan menyiasat segala aduan berkaitan rasuah yang diadukan kepada pihaknya.
Bagaimanapun Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki memaklumkan bahawa pihaknya belum lagi menerima sebarang laporan atau aduan dari pihak Tony Pua itu sendiri.
“Berhubung dengan apa yang dikatakan Tony Pua setakat ini, pihak SPRM belum lagi menerima sebarang laporan ataupun aduan dari pihak beliau.
“Kita akan melihat sebarang aduan yang akan dikemukakan kepada kita dan kita boleh buat apa-apa tindakan seterusnya,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Desakan dari Tony Pua itu dibuat dalam satu kenyataan susulan pembentangan laporan siasatan PAC terhadap 1MDB yang antara lain mencadangkan siasatan ke atas syarikat itu.
PAC, dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkannya di Dewan Rakyat semalam, meminta pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan para pegawai lain yang berkenaan.
PAC berkata Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kelemahan dan kekangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Isu RM2.6bilion : Bagaimana Bank Negara Boleh Terlepas Pandang?

KUALA LUMPUR – Blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin mempersoalkan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiga tahun lepas ketika transaksi RM 2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Memetik laporan di Malaysia Today, beliau menegaskan bahawa Bank Negara sepatutnya dapat mengenalpasti perkara tersebut kerana sebarang pemindahan tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara tanpa sebarang notis atau kesan walaupun hanya melibatkan pemindahan wang sebanyak RM100,000.
“Adakah Perdana Menteri menyeludup masuk wang tersebut di dalam bentuk tunai melalui kontena dan tidak mengisytiharkan wang tersebut kepada pihak Bank Negara? Atau adakah wang tersebut dipindahkan secara terbuka atau melalui saluran normal ke dalam akaun peribadi Najib?
“Jika Perdana Menteri memilih untuk menggunakan kaedah kedua, iaitu pemindahan secara terbuka atau melalui saluran normal, maka wajarkah sekiranya Bank Negara tidak mengetahui perkara itu? Kita sedang bercakap mengenai transaksi bernilai RM 2.6 bilion. Ia terjadi tiga tahun lepas dan mengapa Bank Negara tidak menyekat, mahupun bertindak pada masa itu?
“Bukankah Bank Negara telah sedia maklum dan tahu mengenainya serta memberi kelulusan mengenai hal tersebut tiga tahun lalu? Dan jika begitu, mengapa mereka bertindak seolah-olah mereka tidak jelas, tidak tahu dan tidak sedar mengenai apa yang berlaku?” soal Raja Petra dalam tulisan di portal berita, Malaysia Today.
Difahamkan, portal berita tersebut telah digodam pada Selasa lalu sebaik sahaja persoalan tersebut di muat naik dan kembali berjalan seperti biasa sejam kemudian selepas Raja Petra memindahkan server melalui negara lain.
“Saya mengesyaki artikel tersebut merupakan punca server saya digodam oleh segelintir penyokong anti-Najib dengan tujuan supaya pembaca tidak boleh membacanya,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen DAP Nafi Penglibatan Najib Dalam Isu 1MDB

KUALA LUMPUR - Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tan Seng Giaw berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dipertanggungjawabkan di atas segala skandal berkaitan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kenyataan Seng Giaw yang juga merupakan Ahli Parlimen Kepong (DAP) itu bertentangan dengan pendirian rakan separti dan juga anggota PAC, Tony Pua (Petaling Jaya Utara-DAP), yang berkata Najib boleh dipersalahkan diatas salahlaku atau salahurus yang berlaku dalam syarikat itu.
Seng Giaw pula berpendapat pengurusan 1MDB yang perlu dipertanggungjawabkan untuk masalah yang berlaku dalam 1MDB.
“Tidak. Kita harus lihat secara keseluruhannya. Kita mendapati beliau (Najib) tidak terbabit secara langsung. Nama beliau hanya disebut kerana tersenarai sebagai ahli lembaga penasihat.
“Selepas itu, (namanya) tidak lagi disebut. Kebanyakannya, melibatkan pihak pengurusan. Maka, berdasarkan kepada kedaulatan undang-undang: kamu tidak boleh hukum selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ruang legar Parlimen semalam.
Ditanya mengapa nama Najib disebut dalam laporan PAC berhubung dakwaan salahurus dalam 1MDB, Seng Giaw berkata namanya disebut lantaran Perdana Menteri merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
“Semasa siasatan dijalankan, Perdana Menteri tidak terbabit dalam perkara itu (pengurusan syarikat), tetapi dia adalah pengerusi lembaga penasihat.
“Mereka (pengurusan 1MDB) yang menguruskan. Maka orang-orang itulah yang perlu kita siasat. Itulah langkah yang sebetulnya.
“Maka, dari sudut perundangan, bagaimana mungkin kita ambil tindakan terhadap orang yang tidak melakukan apa-apa?
“Justeru, mari kita perhatikan mereka yang terbabit secara langsung. Apa yang betul dan apa yang salah? Ini langkah pertama yang perlu kita ambil.”
Pada pandangan beliau, adakah Najib kena-mengena dengan pengurusan 1MDB? Menjawab soalan itu, Seng Giaw berkata syarikat itu digerakkan oleh pihak pengurusan, bukannya Najib.
“Tidak. Kita tidak boleh kata itu (Perdana Menteri terbabit dengan 1MDB). Kita tidak boleh kata apapun (yang seperti itu).
“CEO yang gerakkan perniagaan itu, dipantau oleh ahli lembaga pengarah,” tambah Seng Giaw.

07 April 2016

RM42 billion Dari 1MDB Tidak Hilang, Hanya Tuduhan Tun M - PM

KUALA LUMPUR - Laporan akhir Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini membuktikan tuduhan yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan RM42 billion adalah tidak benar. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa segala dakwaan dan tuduhan Mahathir sebelum ini ternyata palsu dan mempunyai agenda peribadi.
“Jelas bahawa segala dakwaan dan tuduhan Tun Mahathir terhadap 1MDB adalah palsu. Beliau didorong kepentingan peribadi, bukan demi kepentingan negara dan juga berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Walau bagaimanapun, kami di pihak kerajaan akan terus fokus untuk membangunkan dan memperkukuhkan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran global,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Najib mengucapkan terima kasih di atas komitmen PAC yang menjalankan siasatan secara telus dan komprehensif.
Siasatan itu dijalankan setelah kabinet memutuskan untuk meminta Ketua Audit Negara menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan 1MDB.
“Dalam memastikan siasatan yang dijalankan itu melalui proses yang telus, pihak kerajaan juga mengarahkan agar hasil siasatan Ketua Audit Negara diserahkan kepada PAC yang mana turut dianggotai oleh barisan ahli parlimen pembangkang,” katanya lagi. 

Patuhi Syor PAC, Lembaga Pengarah 1MDB Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), berdasarkan syor yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini. Walaupun ianya keputusan sukar, mereka percaya tindakan berkenaan akan memudahkan sebarang siasatan susulan membabitkan syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan itu.
"Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan 100% pemegang saham 1MDB.
"Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” kata mereka, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.
Lembaga pengarah 1MDB juga kata mereka telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa laporan PAC setebal 106 muka surat itu boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat berkenaan.
Mereka juga percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat seperti mewujudkan prosedur operasi standard (standard operating procedure) untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga Pengarah.
Di samping itu, Lembaga Pengarah juga kata mereka telah memastikan kerjasama penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan ke atas syarikat. Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan dengan sewajarnya.
"Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes "RM42 bilion hilang", seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang telah didakwa,” kata kenyataan itu lagi.

Rafizi Spesies `Kaki Spin’ Yang Aneh

TIDAK tahu malu. Kalau sudah kaki `spin’ atau putar belit, tidak kira di tempat terbuka atau terang benderang pun, si kaki spin itu akan buat juga. Inilah aksi Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli  yang menipu rakyat seolah-olah dia `digari’  polis kelmarin, dengan kedua-dua tangan diletakkan ke belakang semasa direman kerana membocorkan satu dokumen rahsia.
Meskipun aksinya bohongnya sudah terang lagi bersuluh di tempat khalayak, kalau sudah  lagaknya si penipu, dia akan buat juga. Ini tidak menghairankan kerana  Rafizi  dengan penampilan ala-ala pondan ini cukup licik dengan gelaran  kaki `spin’.
Peliknya, dia tidak kisah, tidak peduli meskipun mendapat jolokan si penabur fitnah. Seolah-olah sudah menjadi makanan harian Rafizi. Hal berkenaan `cincin’ yang didakwanya milik isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tempoh hari yang habis  dijajanya sebelum  pilihan raya umum ke-13.  Digembar-gemburkan untuk menimbulkan kebencian rakyat.
Kemudian setelah diheret masuk ke mahkamah dan disoal, barulah Rafizi bersuara bahawa kenyataan isu cincin Rosmah itu hanyalah lawak jenakanya. Kenyataan Rafizi ini seolah-olah sesiapa sahaja yang membuat fitnah boleh lepas dengan alasan lawak jenaka.
Tetapi malang sekali, putar belit itu `melekat’ bagaikan gam dalam fikiran sebilangan orang.  `Damage has been done’. Bukan setakat `aksi digari itu’, Rafizi ini cukup licik.
Periksalah hansard semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Parlimen sebelum ini pun cukuplah. Banyak fakta telah dikeliru atau dimanipulasi oleh Rafizi, sehinggakan wakil-wakil kerajaan terpaksa buat homework memperbetulkannya.
Contohnya, Rafizi  mendakwa kerajaan akan mengutip cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih tinggi berbanding kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan.
Dia mendakwa, kerajaan bakal mengutip purata GST RM19 sehari daripada setiap keluarga di negara ini pada tahun depan dan jumlah itu lebih besar berbanding jumlah kenaikan BR1M hanya 14 sen shear. Kononnya, kata Rafizi, peralihan cukai itu juga akan menyebabkan rakyat Malaysia akan membayar sebanyak RM13 bilion cukai tambahan bagi tahun depan.
Dakwaan itu lantas ditangkis oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang menyifatkan pengiraan Rafizi ‘tidak logik’ mengambil kira perbelanjaan itu diandaikan dibuat oleh ‘orang biasa’.
“Bagi saya orang biasa ialah mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah. Kalaulah RM17 sehari (kutipan kerajaan) maknanya beliau kena belanja RM283 membeli barang-barang berGST dan dalam tempoh sebulan perbelanjaan mencecah RM8,500 sebulan untuk membeli barangan GST sahaja.
“Itu belum lagi barang-barang lain yang tidak dikenakan GST.  Mereka yang tergolong dalam pendapatan itu tidak akan mampu membayar GST melebihi pendapatan bulanan.
“Mana logik matematik yang membolehkan gaji RM4,000 sebulan membeli barang lebih RM8,500 sebulan…tiap-tiap bulan dia akan berhutang RM4,500 atau lebih 100 peratus daripada sumber gaji bulanan,” kata Nawawi.
Demikian juga dakwaan Rafizi  dalam perbahasan rang undang-undang yang sama baru-baru ini di Dewan Rakyat yang mana dia memberi gambaran  bahawa kos pembinaan Pusat Perubatan UiTM Shah Alam menelan belanja RM8.2 bilion sehingga terpaksa diperbetulkan kembali oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim yang memaklumkan kos sebenar hanyalah RM559 juta.
Banyak isu dimanipulasikan Rafizi. Antaranya, dia mengatakan kerajaan membelanjakan RM465 juta selama 15 tahun untuk membeli Pesawat Khas Kerajaan ACJ320. Ini bermaksud, kerajaan membelanjakan hanya sekitar RM31 juta setahun, iaitu sekitar 0.01% berbanding keseluruhan peruntukan bajet 2015, sebanyak RM 265 bilion.
Dakwaan itu diperbetulkan semula oleh Jabatan Perdana Menteri bahawa perbelanjaan sebanyak RM31 juta setahun selama 15 tahun ini adalah berdasarkan pertimbangan keselamatan, keperluan semasa dan kerana ia lebih kos efektif berbanding membayar kos penyelenggaraan 2 buah pesawat lama yang uzur dan menyewa sebuah pesawat tambahan untuk digunakan sepanjang tahun lepas.
Kos pembelian ini juga hanya sekitar 1.07% sahaja berbanding dengan peruntukan tambahan yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu mangsa banjir, iaitu RM2.88 bilion yang diumumkan semasa ucapan pengubah suaian bajet Januari lalu.
Rafizi ini `gempak dan gertaknya’ sahaja yang lebih. Tetapi jika dipulangkan kembali paku buah keras,  dia buat bodoh sahaja - lebih teruk lagi dia `pusing balik’ 360 darjah terhadap para pengkritiknya.
Dan setelah mengkritik Tabung Haji tempoh hari dengan bermacam-macam tuduhan, tiba-tiba   Rafizi gagal menjawab  mengapa dia masih memiliki simpanan hampir RM500,000 dalam akaun Tabung Haji? Sedangkan dia sendiri `amat percaya’ institusi itu sudah rugi sejak 2014, rizabnya negatif dan tidak mampu bayar dividen.
Adakah dia sedang menikmati bonus yang baru diumumkan? Rafizi oh Rafizi.
Kalau beginilah putar belit  dan muslihat yang dimainkan kamu, usahkan Arul Kanda, bahkan  Sukarno, Abraham Lincoln, Ahmad Deedat, bahkan Barack Obama pun boleh `pening kepala’ dengan gelagat kamu Rafizi si pembawa fitnah.
Banyak sudah kes `spin’ sebegini.  Bukan sahaja Rafizi tetapi Nurul Izzah, Tian Chua, malah Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pun demikian jugular. Satu spesies. Mohammad Nizar apabila kena saman, sekadar ungkapkan permohonan maaf kepada Perdana Menteri.
Oh! Rafizi. Macam-macamlah kamu.

MyDeposit Untuk Bantu Rakyat Mula Dilaksana- PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) bersetuju untuk memulakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) bermula pada Rabu.
Menurut Perdana Menteri, skim berkenaan akan membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang berpendapatan isu rumah antara RM3,000 hingga RM10,000.
Tambahnya, pemberian sumbangan 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah) kepada pembeli pertama untuk membantu mereka membeli rumah berharga RM80,000 hingga RM500,000.
"Pemohon boleh membuat permohonan atas talian untuk skim ini mulai Rabu menerusi laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Yang kedua, penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 kepada hanya pembeli rumah pertama seperti diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016, akan mula dilaksanakan mulai bulan ini," katanya selepas Mesyuarat MPN Siri 4, Bilangan 1 Tahun 2016 di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara PR1MA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membolehkan PR1MA membina 786 unit rumah atas sebidang tanah milik TNB di Kajang.
Daripada jumlah itu, 50 peratus diperuntukkan untuk kakitangan TNB manakala bakinya dibuka untuk rakyat berkelayakan.

PAS Umum 11 Calon Tandingi PRN Sarawak Ke-11

BINTULU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah mengumumkan 11 calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang ini di sini, malam tadi.
Pengumuman calon-calon PAS ini dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 orang.
Berikut disenaraikan calon-calon PAS yang akan bertanding di PRN Sarawak antaranya Zainal Abidin bin Yet di DUN Pantai Damai, Ustaz Yusof Assidiqqi bin Ahmad Sharkawi di DUN Samariang, Zulkifli bin Ramzi di DUN Muara Tuang, Asan bin Singkro di DUN Sadong Jaya, Ustaz Wan Abdillah bin Wan Ahmad di DUN Sebuyau, Cik Hamidah binti Mokthar di DUN Beting Maro, Clement Bayang di DUN Kakus, Haji Kiprawi bin Aman di DUN Jepak, Zharudin bin Narudin di DUN Samalaju, Mohamad Arifiriazul bin Paijo di DUN Lambir dan Haji Jofri bin Haji Jaraiee di DUN Pujut.
Turut sama hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sarawak Datuk Mustafa Ali.
Tujuan PAS bertanding di PRN Sarawak kali ini berlandaskan dua prinsip iaitu, menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dalam memberikan pilihan kepada rakyat Sarawak dan memperkukuhkan sistem semak dan imbang dalam urus tadbir Sarawak.
Atas sebab itu, PAS menawarkan diri untuk mempertahankan hak anak negeri Sarawak, memelihara hak pelbagai kaum, agama dan budaya di Sarawak, konsisten dalam menuntut royalti 20 peratus minyak dan gas, tegas dalam capaian menyeluruh kemudahan asas rakyat dan sedia mendengar aduan rakyat.
PAS dijangka ditentang Parti Amanah Negara (PAN) yang turut mengumumkan akan bertanding di 10 kerusi DUN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Democratic Action Party (DAP) selain Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang tempatan.
DUN Sarawak akan dibubarkan pada 11 April ini seperti mana yang telah diumumkan Adenan pada 31 Mac lepas.

PKR Minta DAP Hormati Prinsip Pakatan Harapan

MIRI: PKR meminta DAP menghormati parti itu atas prinsip semangat Pakatan Harapan (PH) dengan menarik balik hasratnya bertanding di kerusi DUN Senadin.
Setiausaha PKR Miri Bill Kayong berkata kerusi DUN Senadin secara tradisinya milik PKR manakala Pujut dan Piasau diperuntukkan kepada DAP.
Katanya PKR sudah lama menyampaikan khidmat kepada penduduk di kawasan Senadin malah perjuangan PKR sudah sinonim dengan penyokong PH di kerusi berkenaan berbanding DAP yang menuntut kerusi itu.
“Kita mahu DAP menghormati PKR atas prinsip semangat PH seperti mana PKR menghormati mereka dengan tidak meletakkan calon atau menuntut DUN Piasau dan DUN Pujut.
“Tindakan DAP menuntut DUN Senadin tradisinya milik PKR adalah sesuatu yang bertentangan dengan semangat dan prinsip persefahaman PH.
“Malah, lebih memburukkan tindakan DAP turut bertanding di kerusi sama akan memecahbelahkan undi penyokong PH sekali gus memberi kelebihan kepada calon lawan yang sepatutnya menentang bersama,” jelas Bill.
Beliau berkata, ADUN Pujut yang juga Setiausaha Agung DAP Sarawak Alan Ling dan DAP tidak boleh terlalu yakin dengan keputusan mereka menuntut Senadin dan meletakkan dirinya (Alan) sebagai calon di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Alan mahupun DAP tidak boleh terlalu yakin kerana tanpa kerjasama dalam Pakatan tidak mustahil bagi DAP akan kalah di semua kerusi yang ditandingi di Miri termasuk Piasau dan Pujut.
“Sehubungan itu, PKR Miri minta DAP jangan memandang rendah rakan dalam Pakatan kerana pada pandangan kami, PKR dan DAP saling memerlukan antara satu sama lain untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN),” jelas Bill sambil menambah, pertelingkahan mereka di kerusi Senadin mungkin boleh memberi kemenangan kepada BN, bertentangan dengan matlamat mereka.

Adenan Umum 10 Calon SUPP Bagi PRN Sarawak Ke-11

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan 10 calon daripada Sarawak United People’s Party (SUPP) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi mengumumkan calon-calon SUPP di pejabatnya di sini petang ini.
Seramai 10 calon SUPP diumumkan Adenan yang juga merupakan Pengerusi BN Sarawak.
“Mereka terdiri daripada Peter Pau Kiu Sung di DUN Padungan, Milton Foo di DUN Pending, Sih Hua Tong di DUN Batu Lintang, Wilfred Yap di DUN Kota Sentosa, Loo Khere Cher di DUN Batu Kitang, Dr Sim Kui Hian di DUN Batu Kawah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Chieng Buong Toon di DUN Bukit Assek, Datuk Sebastian Ting di DUN Piasau dan Datuk Lee Kim Shin.
“Manakala, seorang lagi calon SUPP di DUN Repok akan saya umumkan di Repok”, katanya.
Mengenai beberapa calon lain yang masih belum diumumkan, Adenan menyatakan akan mengumumkannya seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Saya akan mengumumkan beberapa lagi calon BN seminggu sebelum hari penamaan calon”, katanya lagi.
DUN Sarawak akan dibubarkan pada 11 April ini seperti mana yang telah diumumkan Adenan pada 31 Mac lepas.
Selepas tarikh itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh hari pengundian.
PRN Sarawak Ke-11 ini akan menyaksikan 82 DUN akan dipertandingkan dengan 11 DUN baharu telah diperkenalkan selepas diluluskan Dewan Rakyat Disember lepas.

Fazzrudin Nafi Dirinya Ejen UMNO

KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menafikan dakwaan bahawa beliau sebagai ejen UMNO.
Malahan kata ketua penerangan PBB itu, isu berkenaan bukan sahaja dilemparkan kepada dirinya tetapi sudah lama dipergunakan pembangkang malahan terhadap pemimpin BN lain.
“Seperti biasa ia dimainkan sejak dahulu lagi, termasuk Datuk Amar Abang Johari menggunakan isu berkenaan dan kini ia dikaitkan dengan saya.
“Saya sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kerja Raya sudah semestinya saya berhubung dengan pemimpin di persekutuan bukan sahaja UMNO tetapi MCA dan MIC.
“Namun saya percaya pembangkang akan menggunakan saya bersama pemimpin UMNO dan memutar belit perkara ini sedangkan saya banyak juga berhubung dengan parti lain sebagai kerjasama di bawah satu bumbung, iaitu BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Persiapan Jentera PRN Zon Kuching yang disempurnakan Timbalan Presiden PBB merangkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Ketua Pemuda PBB merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di ibu pejabat PBB di sini, semalam.
Selain dakwaan ejen UMNO, Fazzrudin yang juga timbalan ketua Pemuda PBB Cawangan Tupong didakwa memilik beberapa kereta mewah dan stesen minyak Petronas Taman Hui Sing.
“Mereka menyifatkan kereta itu kereta mewah kerana mereka tidak tahu atau tidak memeriksa nilai sebenar.
“Saya menggunakan kereta tersebut di Kuala Lumpur dan banyak membantu rakan dari Kuching sama ada membawa ke hospital mahupun membawa anak-anak mereka ke institusi pengajian tinggi,” tegasnya.
Bagaimanapun beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu menyerahkan ia kepada pengundi kerana mereka lebih memahami dan lebih bijak mengenalpasti fakta yang benar.
Sementara itu mengenai keyakinan BN menang di Tupong, Fazzrudin berkata rakyat dapat menilai prestasi parti sebelum ini dan berharap dapat menjalin kerjasama rapat dengan semua rakyat di kawasan itu demi pembangunan Tupong.
“Ia hasil daripada pembangunan yang dijalankan oleh Datuk Daud Abdul Rahman (penyandang Tupong) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (Ahli Parlimen Petra Jaya). Saya akan meneruskan kesinambungan di bawah parti BN,” ujarnya.
Malahan antara isu yang akan terus ditekankan lagi adalah mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Matang yang kini dalam proses pembinaan bagi projek berkaitan.
Ia kata beliau termasuk membina ‘underpass’ di bulatan Datuk Abang Kipali Abang Akip di Petra Jaya bagi mengurangkan kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.

Laporan PAC Buktikan PM Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR - Pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bebas dari sebarang salah laku. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, segala tuduhan yang dikaitkan dengan Najib selama ini ternyata tidak berasas dan bermotifkan politik.
"Laporan PAC pada hari ini membuktikan bahawa tiada salah laku jenayah dalam syarikat milik Kementerian Kewangan itu seperti yang didakwa pembangkang. Selain itu, Laporan PAC turut mengesahkan bahawa tiada sebarang penyelewengan kewangan dan tiada duit yang hilang seperti yang didakwa sebelum ini.
"Dalam masa yang sama PAC mengesahkan bahawa YAB Perdana Menteri bukan sahaja tidak melakukan sebarang kesalahan, malah tidak menyumbangkan kepada kesalahan jenayah. Terbukti segala tuduhan tuduhan dan tohmahan terhadap YAB Perdana Menteri selama ini adalah tidak berasas dan hanya bermotifkan politik semata-mata yang berniat untuk menjatuhkan YAB Perdana Menteri secara tidak demokratik," kata Azalina melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa yang sama menegaskan bahawa PAC menjalankan siasatan dengan telus dan tanpa berselindung.
"PAC adalah jawatankuasa bi-partisan yang dianggotai oleh wakil pembangkang dan kerajaan. Proses siasatan yang dijalankan secara transparen dengan memanggil saksi-saksi yang berkaitan serta menggunakan dokumen-dokumen sokongan yang sah," jelas Ahli Parlimen Pengerang itu lagi.
Hari ini PAC membentangkan laporan 1MDB di Parlimen setelah siasatan dijalankan ke atas syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu.
PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB.
 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress