31 March 2016

Tarikh Bubar DUN Sarawak Masih Teka-teki

BAU (Sarawak): Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) terus menjadi rahsia namun Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memberi gambaran bahawa ia akan diumumkan tidak lama lagi.

Ditanya pemberita tentang perjumpaan beliau dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud esok, Adenan berkata perjumpaan itu diadakan seperti kebiasaannya sebelum setiap mesyuarat kabinet negeri.

"Mungkin pertemuan esok peluang bagi saya untuk meminta supaya beliau membubarkan DUN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ketua Menteri Sarawak bersama Rakyat di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata tarikh pertemuannya bersama dua bakal calon Barisan Nasional (BN) Datuk Harry Henry Jinep daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan penyandang kerusi yang juga timbalan presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Datuk Peter Nansian Ngusie akan ditetapkan kemudian.

Sebelum itu, dalam ucapannya Adenan berkata beliau mahu terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan kedua-dua bakal calon itu sebelum memutuskan siapa antara mereka akan dipilih untuk menjadi calon BN bagi mempertahankan kerusi Tasik Biru pada pilihan raya akan datang.

Adenan turut menafikan laporan sebuah akhbar kononnya beliau telah memutuskan Nansian sebagai calon BN bagi kerusi berkenaan, sambil menyatakan beliau kagum dengan sokongan terhadap Harry kerana turut mendapat sokongan kesemua parti komponen BN.

Beliau berkata pilihan raya negeri akan datang amat bermakna bagi BN dan Pasukan Adenan kerana ia akan menentukan siapa yang akan menjadi ketua menteri Sarawak yang berikutnya bagi tempoh lima tahun.

"Saya memerlukan mandat yang besar daripada rakyat Sarawak supaya saya boleh bersuara kepada kerajaan pusat untuk mendapatkan peruntukan yang besar untuk memajukan negeri Sarawak serta menuntut supaya kuasa autonomi negeri kita dikembalikan kepada kita," katanya.

30 March 2016

Laporan ABC Sahkan Wang Dalam Akaun Najib Derma Daripada Keluarga Diraja Saudi



KUALA LUMPUR: Laporan Four Corners The Australian Broadcasting Corporation (ABC) mengesahkan bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma daripada keluarga diraja Saudi, kata seorang jurucakap kerajaan Malaysia.

Jurucakap itu juga berkata sepucuk surat yang bocor daripada Arab Saudi menyatakan derma itu adalah hadiah kepada Najib kerana mempromosikan Islam sederhana serta memerangi keganasan dan ekstremisme, termasuk melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global.

"Surat itu menyatakan dengan jelas bahawa pemberian tersebut boleh digunakan dengan cara yang difikirkan wajar oleh perdana menteri, akan dipindahkan secara terus atau melalui syarikat penderma, dan tiada sebarang manfaat diharapkan sebagai balasannya," kata jurucakap itu dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, laporan Four Corners itu mengesahkan apa yang dinyatakan perdana menteri selama ini serta apa yang dirumuskan pelbagai pihak berkuasa setelah melakukan penyiasatan secara rapi dan menyeluruh.

"Penyiasatan itu termasuk pemeriksaan forensik terhadap setiap pindahan kawat. Pihak berkuasa Malaysia juga pergi ke Arab Saudi untuk memeriksa dokumen dan mengadakan temu bual dengan anggota keluarga diraja serta para pegawai yang mentadbir derma itu," kata jurucakap berkenaan.

Kapal China Bersiap Sedia Sertai Usaha Cari MH370

KUALA LUMPUR:  Sebuah kapal China tiba di Perth, Australia bagi menyertai usaha mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang kehilangannya terus menjaid misteri, dua tahun selepas laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, yang menyelaraskan operasi mencari pesawat itu, berkata kapal berkenaan, Dong Hai Jiu 101, kini berada di pelabuhan Fremantle.

"Ia sedang menunggu ketibaan kenderaan kawalan jauh (ROV) Remora III Phoenix International, yang akan digunakan dalam operasi mencari 'towfish SLH-ProSAS-60'," kata agensi itu dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Kerajaan Australia berkata kapal itu akan dilengkapi sistem Synthetic Aperture Sonar termoden.

Dong Hai Jiu 101 adalah kapal keempat yang digunakan dalam operasi mencari pesawat MH370, selain kapal Fugro Discovery, Fugro Equator dan Havila Harmony.

Pesawat itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada masa ini, usaha mencari ditumpukan di selatan Lautan Hindi.

Menurut JACC sehingga kini, usaha mencari meliputi kawasan dasar laut seluas lebih 95,000 kilometer persegi.

Satu serpihan sayap yang dijumpai di pantai Pulau Reunion pada Julai lepas adalah satu-satunya serpihan yang disahkan milik MH370.

Minggu lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan dua lagi serpihan yang dijumpai di Mozambique berkemungkinan besar milik pesawat itu memandangkan kedua-duanya sama dengan panel sebuah pesawat Boeing 777.

PRN Sarawak : PDRM Sudah Bersiap Sedia Sepenuhnya

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata anggotanya sudah cukup bersedia sepenuhnya dari segi perancangan bajet, penambahan bilangan anggota dan logistik bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Menurut beliau, pihaknya kini hanya menunggu pengumuman tarikh pembubaran, tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi katanya.

Disebabkan keadaan Sarawak yang unik seperti tempat mengundi di rumah panjang contohnya,beliau berkata pihaknya memerlukan keanggotaan yang ramai dan logistik yang mencukupi demi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan selamat.

Tambah Khalid lagi, semua aspek perlu diambil kira untuk memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar terutama penggunaan helikopter untuk bergerak memandangkan beberapa kawasan di negeri Sarawak tidak dapat dihubungkan melalui jalan darat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Pegawai-pegawai Kanan Diwartakan (PPKP/Cawangan Pegawai, PPKP/Cawangan Inspektor dan Pegawai-pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) kali ke-88 2015/2016, di Kulai Johor hari ini.

Peruntukkan RM135.6j Untuk PRN Sarawak

Sebanyak RM135.6 juta peruntukkan dari kerajaan pusat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dari MP Sarikei, Wong Ling Biu (DAP).

Wong Ling Biu bertanya mengenai peruntukan yang akan diberikan kepada SPR untuk PRN Sarawak akan datang dan peruntukan bagi PRN lepas.

Menurut JPM, jumlah peruntukan yang telah digunakan dalam PRN lepas adalah sebanyak RM79 juta.

Susulan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa akan berakhir menjelang Jun tahun ini pilihan raya negeri Sarawak ke-11 dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Adenan Umum PRS Tanding 11 Kerusi Termasuk Dua Kerusi Baharu


KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengumumkan 11 kerusi termasuk dua kerusi baharu yang akan ditandingi parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mengumumkan perkara itu berkata, beliau menerima senarai yang dikemukakan PRS bagi calon-calonnya pada PRN.

Antara 11 calon berkenaan Tan Sri Datuk Amar James Masing bagi DUN Baleh, Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Liwan Lagang (Belaga), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah) dan Snowdan Lawan (Balai Ringin).

Sementara muka baharu, Christopher Gira calon di Tamin manakala dua calon bagi kerusi baharu, Majang Reggie (Samalaju) dan Kennedy Chukpai Ugon (Murum).

“PRS diperuntukkan 11 kerusi dan saya telah menerima senarai dikemukakan oleh PRS untuk bertanding pada PRN ini.

“Mereka adalah antara sebahagian daripada pasukan saya sebagai calon Barisan Nasional yang dikemukakan PRS dan diterima saya,” katanya yang juga pengerusi BN Negeri selepas menghadiri sesi pemimpin bersama rakyat (DUN Batu Kawa dan Batu Kitang) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Kontrak RM5b-RM8b Bakal Diagih Kepada Syarikat Bumiputera

PUTRAJAYA: Pakej kontrak bernilai antara RM5 bilion hingga maksimum RM8 bilion akan diagih kepada syarikat Bumiputera secara ‘carve out & compete’ untuk projek besar, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata projek tersebut akan turut membabitkan kontraktor sehingga dari kelas F.

“Dasar baharu yang menekankan kepada projek-projek besar dan ikonik ini yang mana kontrak-kontrak di bawah projek ini akan dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera melalui saingan,” katanya, sambil menambah projek Mass Rapid Transit (MRT) adalah projek perintis kepada dasar baharu itu.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di sini hari ini, Najib berkata ia merupakan sebahagian inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menerusi pelan pelaksanaan ‘Carve Out & Compete’.

Najib berkata pakej kontrak bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dari Sarawak untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Di bawah inisiatif yang sama, peruntukan 50 peratus atau RM1.6 bilion daripada kontrak pembinaan projek BBCC bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam rancangan pembangunn dan pembinaan projek tersebut.

Projek BBCC yang dibangunkan bersama Uda Holdings Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Eco World Development Group Bhd itu akan melibatkan pembangunan di kawasan Penjara Pudu Lama, katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang dilancarkan pada Januari 2014 telah berjaya melahirkan 90 usahawan Bumiputera baharu dari pelbagai industri.

Katanya SUPERB adalah antara langkah proaktif kerajaan dalam membantu syarikat ‘start-up’ dan usahawan muda Bumiputera ke peringkat yang lebih tinggi dan menggalakkan penyertaan belia Bumiputera ke dalam bidang keusahawanan.

“Selain daripada sokongan geran perniagaan, usahawan-usawahan SUPERB turut menerima manfaat bimbingan dan mentoring,” katanya.
Pada majlis yang sama, Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Celcom Axiata Bhd dan Touch & Go Sdn Bhd bagi pelaksanaan ‘Adopt & Grow”.

“Menerusi kolaborasi strategik ini, syarikat-syarikat yang terlibat akan bertindak sebagai mentor dalam memberi bimbingan kepada usahawan SUPERB khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan industri syarikat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan syarikat Bumiputera, Aiis Solutions Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan teknologi pembersihan enjin pesawat menggunakan ais kering yang telah menarik minat AirAsia Bhd.

“Maka pada hari ini, kita juga menyaksikan syarikat Aiis Solution bertukar dokumen perjanjian bersama AirAsia, yang membenarkan syarikat penerbangan tambang murah itu mengaplikasi teknologi dan produknya ke atas enjin pesawat untuk menguji keberkesanya,” katanya.

Katanya teknologi tersebut didapati lebih efektif dan memberi kelebihan daripada cara biasa pembersihan enjin pesawat sebelum ini yang menggunakan air.

“Syarikat yang menggunakan kaedah ini didapati boleh menjimatkan perbelanjaan dan penggunaan minyak.

“Saya harap ini merupakan satu kajian kes dari SUPERB dalam melahirkan satu syarikat Bumiputera yang berjaya di negara dan teknologinya juga berpotensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.


Masalah Empat Parti Diselesai Sebelum Penamaan Calon

KUCHING: Masalah yang melibatkan empat parti di negeri ini akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menegaskan bahawa masalah berkenaan melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
“Perkara (masalah antara parti) ini akan diselesaikan sebelum penamaan calon… mereka akan menyelesaikan masalah antara satu sama lain, sama ada SPDP dan TERAS atau SUPP dan UPP.
“Bagi calon terus BN, sama ada mereka perlu meletak jawatan, perkara ini juga tetap akan terus diselesaikan walau apa sekalipun,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Ditanya mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus berteka-teki dengan tarikh berkenaan dan membayangkan beliau akan berjuma Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.
“Dalam masa terdekat (perjumpaan dengan Tun Taib)… tidak ada guna untuk kita membuat spekulasi sekarang kerana ia semakin dekat,” tegasnya.
Malahan kata Adenan beliau bertemu dengan Tun Taib untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN dan selepas itu ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan.
“Selepas mendapat nasihat daripada Yang di-Pertua Negeri bagi pembubaran DUN, speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR tentang perkara ini dan dari situ SPR akan mengambil alih bagi menentukan tarikh PRN,” katanya.
Sementara itu Adenan turut mengumumkan senarai nama 11 calon dikemukakan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) termasuk dua daripadanya adalah kerusi baharu.
Antara 11 calon berkenaan Tan Sri Datuk Amar James Masing bagi DUN Baleh, Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Liwan Lagang (Belaga), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah) dan SnowdanLawan (Balai Ringin).
Sementara muka baharu, Christopher Gira calon di Tamin manakala dua calon bagi kerusi baharu, Majang Reggie (Samalaju) dan Chuk Pai Ugon (Murum).
“Mereka adalah antara sebahagian daripada pasukan saya sebagai calon Barisan Nasional yang dikemukakan PRS dan diterima saya,” katanya.

28 March 2016

Baru Bian Selar Penyelewengan Yang Berlaku di Pulau Pinang?

Kempen Pilihan Raya DAP Sarawak untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada kali ini, terus menerima tamparan hebat apabila rakan sekutu DAP di Sarawak, PKR menyelar skandal penyalah gunaan kuasa yang dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam apa yang dikatakan sebagai menjijikkan, beberapa pemimpin PKR negeri menyatakan, perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku terhadap seorang yang mempunyai nama dan dihormati didalam Pakatan Harapan, samada di Semenanjung mahupun di Sarawak.

Menurut beberpa sumber dalaman PKR negeri, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, baru-baru ini menzahirkan rasa kecewa beliau dengan apa yang berlaku. Menurut sumber berkenaan, Baru Bian mendakwa, skandal seumpama ini tidak asing lagi bagi DAP kerana menurut beliau, DAP di Pulau Pinang seolah-olah mempunyai "ultimate power" dalam menentukan hal ehwal negeri.

Malah kewujudan PKR di Pulau Pinang juga dilihat tidak ubah seperti pelengkap sahaja tanpa boleh menyuarakan pandangan dan memperbetulkan sebarang keadaan yang pincang.

Justeru itu, menurut sumber ini lagi, beliau enggan membiarkan PKR di Sarawak menjadi seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang tambahan pula Pengerusi DAP negeri, Choong Chieng Jen dilihat seperti mengikut semua corak dan cara berpolitik yang diamalkan oleh Guan Eng di Pulau Pinang.

Beliau enggan membiarkan PKR hanya sebagai pelengkap, sebaliknya, beliau mahu menjadikan PKR negeri sebagai parti yang dominan dan lari dari semua masalah yang ditimbulkan oleh sekutu mereka, DAP. Tambahan pula, apa yang dilakukan oleh Guan Eng ini jelas memberi imej buruk kepada pakatan pembangkang dalam usaha mereka mahu merampas Sarawak dari Barisan Nasional.

Skandal Guan Eng, DAP Sarawak Terkena Tempiasnya

Isu membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak hanya menjadi sebutan dikalangan warga Semenanjung. Isu berkenaan juga turut menarik perhatian warga Sarawak yang agak terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Guan Eng ini.


Disaat semua parti termasuk DAP sedang bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangka diadakan bila-bila masa, kempen DAP menerima tamparan hebat hanya kerana kerakusan yang ditunjukkan oleh Setiausaha Agung parti berkenaan.

Manakan tidak, menerusi kempen-kempen yang dilakukan oleh DAP Sarawak, mereka memperjuangkan ketelusan dan anti rasuah dikalangan pemimpin parti berkenaan. Namun apa yang ditunjukkan baru-baru ini, DAPlah sebenarnya yang amat suka memanipulasikan undang-undang sehingga tergamak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan individu.



Perkara ini jelas menyedarkan ramai rakyat Sarawak betapa DAP sebenarnya jauh lebih teruk daripada apa yang disangkakan. Justeru, adalah tidak mengejutkan, kempen DAP dimana-mana kawasan sekalipun menerima sambutan dingin daripada rakyat Sarawak yang jelas tidak menyukai sebarang unsur rasuah terutamanya melibatkan pemimpin-pemimpin seperi ini.

Nyata sekali, DAP hanya lebih berminat memainkan sentimen kebencian disaat parti itu sendiri jauh lebih kotor untuk mentadbir dan mewujudkan sebuah kerajaan bagi memimpin kira-kira 2.8 juta penduduk Sarawak untuk penggal yang akan datang.

Kenapa Sumbangan Deklarasi Rakyat Masuk Ke Akaun Syarikat Milik Zaid Ibrahim?

Majlis Kongres Rakyat 2016, Gerakan Selamatkan Malaysia semalam turut digunakan oleh Tun Dr Mahathir bersama-sama kuncu-kuncunya untuk melancarkan tabung kutipan bagi menghidupkan Gerakan Selamatkan Malaysia. Ia susulan daripada penganjuran Kongres berkenaan sempena Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh 47 orang individu dari pelbagai parti politik.

Sama seperti yang dilakukan oleh PAS satu ketika dahulu, menerusi Kongres Rakyat ini dijadikan medan untuk para pentaksub mengutip derma simpati daripada para penyokongnya. Jika PAS, terpulang kepada penyumbang untuk menyumbang berapa sahaja yang mereka inginkan. Tetapi untuk Gerakan ini, para penyumbang diwajibkan menyumbang RM 10 dan keatas.

Menariknya disini, sumbangan berkenaan haruslah disumbangkan melalui akaun bank. Dalam satu risalah yang diedarkan menerusi Kongres Rakyat semalam, para penyumbang dikehendaki menyumbang kedalam satu akaun CIMB yang tertera nama sebuah syarikat, Great Country Venture.

Menariknya disini, menurut beberapa sumber, syarikat yang baru sahaja ditubuhkan ini dipercayai diketuai oleh Zaid Ibrahim, sekutu rapat Tun M itu sendiri. Persoalannya, kenapa harus sumbangan berkenaan dimasukkan kedalam akaun bank syarikat yang dipercayai diketuai oleh Zaid sendiri?

Jika ini berlaku, maka tidak mustahil pada satu ketika nanti pastinya akan tercetus polemik dimana sumbangan berkenaan berkemungkinan besar akan digunakan oleh syarikat berkenaan, bukan untuk bertujuan melicinkan gerakan ini.

Rakyat Sudah Mula Hilang Sabar Dengan Mahathir

Kongres Rakyat 2016 yang dianjurkan di Shah Alam Convention Center semalam menampakkan betapa terdesaknya Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk merayu sokongan dari para pentaksubnya dan juga rakyat Malaysia. Malah, mereka sanggup berkongsi pentas yang sama dengan para pemimpin pembangkang, pemimpin yang sama dimusuhi mereka satu ketika dahulu.

Dengan pelbagai ucapan penuh pembohongan oleh senarai mereka yang dijadualkan untuk memberi ucapan terhadap kira-kira 300 orang hadirin, kesemua isu-isu lapuk yang sudah dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib menerusi media massa, media cetak dan media alternatif sejak isu-isu berkenaan mula dibangkitkan oleh Tun M sejak tahun 2014.

Seolah-olah enggan menerima kenyataan, baik Tun M, Muhyiddin dan Mukhriz serta kesemua pemimpin pembangkang, terus memainkan isu yang sama hanya semata-mata mahu hadirin yang hadir mengikut jejak mereka yang jelas dibutakan hati dan mata mereka untuk melihat kebenaran.

Lebih menjijikkan, Tun M dan kesemua pemimpin yang hadir, sekali lagi menjual “nama” rakyat kononnya, merekalah wakil kepada suara rakyat secara keseluruhannya yang mahu melihat Datuk Seri Mohd Najib meletakkan jawatan. Sejak bila 27 juta orang rakyat Malaysia melantik mereka menjadi wakil untuk merubah kerajaan yang ada pada ketika ini?

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan, ketika penulis menemubual kira-kira 20 orang secara rambang di sekitar Kuala Lumpur semalam, 16 daripada 20 orang yang ditemui jelas sudah muak dengan semua retorik yang dimainkan oleh Tun M. Jelas mereka, benar, satu ketika dahulu memang mereka menyokong gerakan yang dilakukan oleh Tun M, namun kini, mereka semakin jelak dengan cara berpolitik sebegini.

Ada diantaranya menyifatkan, Tun M sudah terlalu tua untuk terus berpolitik. Apa yang mereka mahu lihat hari ini adalah pembangunan berterusan. Mereka juga menegaskan, jika benar Datuk Seri Mohd Najib melakukan kesalahan, sudah pasti beliau kini sudah berada di mahkamah untuk membela diri.

Mereka juga menegaskan, cukup terkilan dengan sikap Tun M dan kuncu-kuncunya yang lain mempertikaikan ketelusan pihak SPRM, PDRM, Peguam Negara dan Bank Negara dalam menyiasat sebarang isu salah laku yang membabitkan Datuk Seri Mohd Najib. Jelas mereka, tindakan Tun M dan pengikutnya ini seolah-olah menidakkan undang-undang yang diamalkan di negara ini.

Jika inipun Tun M dan kuncu-kuncunya gagal hormati, bagaimana rakyat mahu memperakui apa yang beliau dakwa dan tuduh? Ini adalah bukti dimana Tun M sendiri telah mencipta satu gelombang kebencian terhadap dirinya sendiri. Bagi Tun M, tunduk dan akur kepada pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib adalah politik matang. Hakikatnya, ianya telah mencemarkan maruah beliau yang satu ketika dahulu, cukup dihormati.

Adenan Ajak Penyokong Pembangkang Sokong BN Pada PRN

BAU: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengajak penyokong parti pembangkang supaya menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang untuk kebaikan masa depan negeri.

"Marilah kita lupakan segala perbezaan politik kita demi masa depan negeri Sarawak dan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) di Pusat Redeems di sini hari ini.

Pengerusi BN Sarawak itu berkata beliau memerlukan mandat besar untuk meneruskan perjuangan beliau membangunkan negeri ini khususnya kawasan luar bandar, menuntut penurunan kuasa pentadbiran kerajaan pusat kepada kerajaan negeri di samping peruntukan lebih besar daripada kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya sorakan yang beliau terima di setiap majlis dihadirinya diterjemahkan kepada undi.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 dijangka diadakan pada bila-bila masa susulan penggal Dewan Undangan Negeri semasa akan berakhir menjelang Jun tahun ini.

Ketua Menteri mengulangi bahawa calon yang dipilih dan bersama-sama dalam pasukan beliau (Pasukan Adenan) akan diberi kebenaran untuk menggunakan lambang BN iaitu dacing pada pilihan raya negeri akan datang.

"Berdasarkan sokongan yang diterima ketika kunjungan saya ke seluruh negeri saya mendapati sokongan rakyat kepada BN semakin bertambah," katanya.

Sementara itu, kira-kira 10,000 yang hadir di majlis hari ini terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui siapakah calon BN untuk kerusi Tasik Biru pada PRN akan datang.

Ini berikutan Adenan dalam ucapannya berkata beliau kagum dengan jumlah yang hadir pada majlis tetapi menurutnya beliau tidak berhasrat untuk mengumumkan calon BN bagi kerusi itu pada hari ini.

"Tetapi berdasarkan apa yang saya nampak hari ini, saya tahu apa keputusan yang akan saya buat nanti," katanya.

Penyandang kerusi Tasik Biru Datuk Peter Nansian dan Datuk Harry Henry Jinep dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing menawarkan diri untuk bertanding menggunakan lambang BN pada PRN akan datang.

Adenan turut menjelaskan sebab beliau menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan beliau seorang perdana menteri yang sangat baik kepada rakyat dan negeri Sarawak.

Katanya, sejak menjadi perdana menteri, Najib sudah melawat ke Sarawak hampir 50 kali dan meluluskan banyak peruntukan untuk pelbagai projek dan program di negeri ini termasuk RM3 bilion sepanjang tinjauan mesra beliau dan RM16 bilion untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Nansian yang turut berucap pada majlis itu menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi pengundi di Tasik Biru kepada BN sambil berharap beliau akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang.

Sementara itu, Harry ketika ditemui Bernama berkata dalam semangat sambutan Easter beliau mengetepikan perbezaan politik dan turut hadir pada majlis hari ini, malah berjabat tangan dengan Nansian di hadapan ketua menteri.

"Sayalah satu-satunya bakal calon yang menghadiri majlis anjuran Teras kerana saya percaya penyokong-penyokong kami adalah sama, iaitu penyokong BN," katanya.

Jangan Sabotaj Calon Yang Akan Dipilih

KABONG : Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam telah membuat tinjaun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu iaitu DUN Kabong.

DUN Kabong dimeteraikan sebagai DUN baru yang telah dibuat persempadanan semula oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam rangka lawatan tersebut, Adenan telah menyatakan bahawa calon DUN Kabong yang akan betandung di atas tiket Barisan Nasional (BN) ialah anak jati Kabong. Namun Adenan tidak menyebut nama calon berkenaan memandangkan nama tersebut akan didedah tidak lama lagi.

Justeru, Adenan menyeru masyarakat Kabong agar tidak melakukan isu sabotaj terhadap calon BN apabila nama diumumkan kelak. Beliau turut menggesa agar masyarakat bekerjasama dengan bakal calon untuk memenangi pilihanraya nanti.

Dalam pada itu, Adenan turut mengumumkan peruntukan RM1 Juta untuk membina dewan dan masjid di daerah Kabong. Dengan peruntukkan tersebut, penduduk Kabong akan menikmati pembangunan seperti terbinanya sebuah dewan yang berfungsi untuk kemudahan orang ramai.

Ketibaan Adenan ke Kabong mendapat sambutan yang begitu meriah malah penduduk Kabong sentiasa menanti kehadiran pemimpin No 1 Sarawak itu.

Pemimpin Muda BN Terus Diiktiraf

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak menghargai pengumuman seorang lagi calon baharu Pemuda oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Ketua Pergerakan Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengumuman tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin Pemuda BN oleh pucuk kepimpinan parti.

“Kami di peringkat Pemuda berterima kasih kepada Ketua Menteri di mana beliau pada program Armada Pemuda Juuuh Kamboh di Lundu semalam (Sabtu) telah mengumumkan seorang lagi calon baharu Pemuda.

“Menerusi pengumuman itu semalam, Pemuda sekarang ini mempunyai dua calon baharu daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan berharap lebih ramai calon baharu pemuda daripada BN akan ditampilkan,” katanya.

Fadillah yang juga ketua Pergerakan Pemuda PBB berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pemuda PBB diikuti Mesyuarat Pemuda BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, semalam.

Dua calon baharu Pemuda PBB yang telah disahkan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB ialah Fazrudin Abdul Rahman dan Gerald Rentap Jabu, masing-masing di kerusi Tupong dan Layar.

Manakala seorang lagi calon baharu Pemuda yang berkemungkinan dicalonkan pada PRN11 nanti ialah Allan Gramong bagi kerusi Machan menggantikan penyandang sedia Datuk Gramong Juna yang juga bapa kepada Allan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata jentera Pemuda BN dan PBB kini telah bersedia menghadapi pilihan raya dan akan memastikan kemenangan BN pada PRN11 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Bagi memperkukuhkan lagi jentera pilihan raya, Pemuda BN katanya akan mengadakan satu program Armada Pemuda BN bermula di Kuching pada 2 April dan akan berakhir di Lawas pada 6 April.

Program ini katanya, adalah untuk membawa jentera pemuda BN mendekati dan mendapatkan maklum balas daripada kalangan rakyat amnya pengundi mengenai permasalahan yang dihadapi mereka untuk tindakan sewajarnya.

Program itu akan diketuai oleh Fadillah sendiri yang akan menjelajah ke seluruh Sarawak mengikut zon tertentu menggunakan bas dari Kuching hingga Lawas yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 2 April ini.

Turut hadir pada mesyuarat dan sidang media itu semalam, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Liwan Lagang, Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Robert Ayu dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai.

PBB Pertaruh Tiga Calon Muda

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal mempertaruh dua atau tiga calon muda dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Menteri Sarawak merangkap presiden PBB berkata Gerald Rental akan mengambil alih tempat bapanya Tan Sri Alfred Jabu di kerusi Layar, manakala Fazruddin Abdul Rahman menggantikan Datuk Daud Abdul Rahman di kerusi Tupong.

Adenan mengumumkan demikian ketika berucap di Majlis Pemuda PBB Bersama Tok Nan di Stadium Mini Lundu hari ini.

Katanya, beliau akan mengumumkan nama seorang lagi calon dalam masa terdekat.

Dalam pada itu Adenan berkata beliau mahu diberi mandat besar oleh rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang supaya beliau meneruskan perjuangannya untuk menuntut semula kuasa autonomi Sarawak yang terhakis sejak 50 tahun lalu.

"Tujuan kita memperjuang dan menuntut kembali kuasa autonomi yang pernah menjadi milik kita adalah untuk generasi masa depan kita," katanya.

Adenan berkata walaupun dalam tempoh dua tahun sebagai ketua menteri beliau berjaya melaksanakan 50 perkara tetapi masih banyak perkara lain yang belum sempat dilaksanakan untuk rakyat dan negeri ini.

Oleh sebab itu, katanya beliau memerlukan tempoh lima tahun lagi sebagai ketua menteri.

Adenan turut mengingatkan para pengundi supaya turun mengundi dan tidak terlalu yakin dengan peluang kemenangan calon BN, khususnya pengundi di kerusi Tanjung Datu yang beliau akan bertanding.

Turut berucap pada Majlis itu ialah Menteri Kerja Raya merangkap ketua pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyatakan jelajah Armada PBB bermula di Tanjung Datu sehingga ke Lawas bagi memastikan kemenangan besar Barisan National dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Menteri Sarawak Terkenal Di London

KUCHING - Ada kalangan penduduk di London telah menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Mereka menyatakan hasrat itu semasa lawatan rasmi beliau ke London, katanya dan menurutnya mereka kagum dengan pendekatan ketua menteri dalam mengendalikan isu-isu.

Nancy berkata Adenan telah membuat beberapa keputusan bagi meringankan beban rakyat seperti menghapuskan bayaran tol, menurunkan tambang feri dan menambah bantuan kebajikan untuk rakyat.

"Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita terkenal di luar negara," katanya pada Program Jalinan Kasih Armanda Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya di Kampung Iboi, Sadong Jaya, malam tadi.

Nancy turut memuji Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo yang bijak mengurus tadbir pengundi di kawasan diwakilinya.

"Beliau telah memberi khhidmat yang cemerlang dalam tempoh tidak sampai lima tahun menjadi wakil rakyat," katanya, dan menyeru pengundi memberi sokongan padu kepada Aidel untuk mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri akan datang.

Aidel, dalam ucapannya berkata kerajaan telah memperuntukkan RM8.58 juta untuk pembinaan jalan raya, RM5 juta untuk prasarana dan RM2.2 juta untuk masjid dan surau di kawasan itu.

Beliau berkata pembangunan paling besar ialah rancangan pembinaan Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal tahun ini.


 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress