KUALA LUMPUR – Impian seorang penyelamat kepada ‘bayi ajaib’ di Highland Towers pada 11 Disember 1993, untuk bertemu bayi yang diselamatkannya telah menjadi kenyataan, sekaligus diabadikan dalam satu sesi temuramah khas bersama TV9 di Sri Pentas, sebentar tadi.
Memetik laporan Berita Harian Online, pertemuan antara ‘bayi ajaib’atau Nur Hamidah Nadjib, 24, dan penyelamatnya, Tan Sri Zaman Khan yang diiringi tangisan serta imbauan detik-detik cemas peristiwa bersejarah itu ternyata menyentuh perasaan, selain penuh sebak, apatah lagi dua insan itu tidak pernah bertemu selepas tragedi 23 tahun lalu itu.
"Perjumpaan ini memberi satu perasaan 'spontan'. Kalau tidak ada gambar ini (gambar viral Zaman Khan menjulang Nur Hamidah) mungkin tidak ingat apa yang berlaku.
"Nur Hamidah tidak ada luka dan tidak menangis ketika ditemui," ujar Zaman Khan ketika hadir pada sesi temuramah khas tadi seperti memetik laporan portal berita tersebut.
Sebelum ini, Zaman Khan yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Khas Bukit Aman, pernah menyatakan hasrat untuk menemui insan kecil yang diselamatkan itu.
Dalam pertemuan sama, ibunya, Umi Rasyidah Khoiruman, 43, berulang kali mengucapkan terima kasih kepada Zaman Khan dan pihak berkuasa Malaysia yang menyelamatkan Nur Hamidah dalam tragedi itu.
Nur Hamidah pagi tadi tiba di Malaysia dari Surabaya, Indonesia, bagi menemui pasukan penyelamat yang menyelamatkannya dalam kejadian pada 23 tahun lalu itu.
Beliau bertolak dari Surabaya bersama tiga ahli keluarga lain jam 5.10 pagi tadi.
Turut menemani Hamidah ialah ibunya, Umi Rasyidah; adik perempuan, Iftitahun Nabilah, 22, dan suaminya, Zahroni Ahda Ghoni Pratama, 26. Ketibaan mereka yang berasal dari Jawa Timur itu disambut bapa Hamidah, Nadjib Mustahar, 53.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.