KUCHING: Semua usahawan termasuk peniaga secara atas talian (online) di negara ini dikehendaki supaya mendaftarkan entiti perniagaan masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata dengan mendaftar perniagaan, usahawan dan peniaga akan mendapat peluang dari segi bantuan kerajaan untuk meningkatkan perniagaan.
Selain itu, katanya sesebuah perniagaan khususnya secara online juga akan lebih diyakini oleh orang ramai dan pada masa sama, hak pengguna sebagai pembeli akan lebih terjamin dan dilindungi.
“Kita tidak mahu ada rakyat Malaysia yang berniaga tetapi tidak tahu bahawa ada undang-undang dalam negara yang mewajibkan untuk mendaftar sebagai ahli perniagaan,” katanya pada sidang media sempena Karnival ‘Online Networking Entreprenuers (ONE) SSM Sarawak 2016’ di CityONE Megamall di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengarah KPDNKK Sarawak Dato Stanley Tan.
Karnival ONE SSM merupakan program yang diadakan untuk memberi kesedaran kepada usahawan atau peniaga online tentang kepentingan mendaftarkan perniagaan.
Sejak diadakan pada tahun lepas, ramai yang mula sedar tentang pentingnya mendaftar perniagaan, dengan statistik pendaftaran perniagaan online mencatatkan peningkatan kepada sebanyak 31,000 sehingga Februari tahun ini.
Sementara, Hamzah berkata SSM dan kerajaan negeri Sarawak juga telah mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan perkongsian data serta maklumat perniagaan yang didaftarkan di Sarawak.
“Dengan kerjasama ini, kita akan mempunyai maklumat serta data yang spesifik mengenai individu yang mendaftarkan perniagaan dan ini akan memudahkan kita untuk menggariskan apa sahaja bantuan atau inisiatif daripada kerajaan,” katanya.
Sementara, Naroden menyeru usahawan dan bakal usahawan di negeri ini supaya melihat media sosial untuk meningkatkan keupayaan perniagaan.
“Berniaga melalui Internet atau ‘online’ adalah satu kreativiti serta kemahiran yang perlu digunakan sebaiknya.
“Saya berharap para usahawan dan bakal usahawan kita di Sarawak akan meningkatkan minat dalam menjalankan perniagaan menggunakan internet,” katanya
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.