KUALA LUMPUR: Sebuah kapal China tiba di Perth, Australia bagi menyertai usaha mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang kehilangannya terus menjaid misteri, dua tahun selepas laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, yang menyelaraskan operasi mencari pesawat itu, berkata kapal berkenaan, Dong Hai Jiu 101, kini berada di pelabuhan Fremantle.
"Ia sedang menunggu ketibaan kenderaan kawalan jauh (ROV) Remora III Phoenix International, yang akan digunakan dalam operasi mencari 'towfish SLH-ProSAS-60'," kata agensi itu dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Kerajaan Australia berkata kapal itu akan dilengkapi sistem Synthetic Aperture Sonar termoden.
Dong Hai Jiu 101 adalah kapal keempat yang digunakan dalam operasi mencari pesawat MH370, selain kapal Fugro Discovery, Fugro Equator dan Havila Harmony.
Pesawat itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Pada masa ini, usaha mencari ditumpukan di selatan Lautan Hindi.
Menurut JACC sehingga kini, usaha mencari meliputi kawasan dasar laut seluas lebih 95,000 kilometer persegi.
Satu serpihan sayap yang dijumpai di pantai Pulau Reunion pada Julai lepas adalah satu-satunya serpihan yang disahkan milik MH370.
Minggu lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan dua lagi serpihan yang dijumpai di Mozambique berkemungkinan besar milik pesawat itu memandangkan kedua-duanya sama dengan panel sebuah pesawat Boeing 777.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.