KOTA SAMARAHAN: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan Millah Abraham iaitu sebuah kumpulan dipercayai menyebarkan ajaran sesat yang kini dikatakan bertapak di Simunjan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, kumpulan itu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang syariah yang dikuatkuasakan di negeri ini sekiranya benar melakukan aktiviti penyebaran ajaran sesat di situ.
“Kes ini di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk juga pihak JAIS mengikut undang-undang syariah, kalau memang betul ia satu ajaran sesat pihak JAIS perlu mengambil tindakan mengikut hukum syariah yang dikuatkuasakan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Isu Semasa Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.
Daripada sudut keselamatan pula, Nancy memberitahu bahawa pemantauan oleh KDN mengenai ancaman yang akan ditimbulkan daripada aktiviti kumpulan Millah Abraham terhadap masyarakat di kawasan tersebut.
Jelasnya, sekiranya aktiviti kumpulan itu boleh mengganggu gugat keselamatan maka tindakan undang-undang di bawah KDN juga akan diambil.
Ditanya sama ada terdapat ahli PBB terlibat dan menyertai kumpulan itu, Nancy berkata setakat ini tiada maklumat mengatakan ada ahli parti terlibat dalam kumpulan tersebut.
“Kita dalam PBB amat rapat antara satu sama lain kalau berlaku perkara seperti ini, kita cepat tahu,” tambahnya.
Kelmarin, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata pihaknya kini sedang memantau pergerakan kumpulan Millah Abraham yang kini dikatakan berada di Simunjan, dekat sini.
Menurutnya, terdapat laporan mengatakan kumpulan terbabit sedang mengusahakan sebidang tanah di daerah kecil tersebut.
Bagaimanapun beliau memberitahu perkara tersebut masih dalam siasatan dan pihak polis akan terus memantau pergerakan kumpulan terbabit.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.