AYER KEROH – Speaker DUN, Datuk Wira Othman Muhammad mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong dari DAP, Goh Leong San sebagai wakil Bebas, berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan berkenaan dibuat dalam ucapan pembukaannya pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-13, di Seri Negeri, di sini, sebentar tadi.
Pengisytiharan Leong San sebagai wakil bebas itu susulan tindakan penggantungan keahlian parti oleh Lembaga Disiplin DAP sejak awal Februari lalu, berkuasa selama setahun.
Othman turut mengumumkan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) sebagai Ketua Pembangkang baharu, manakala Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) sebagai Ketua Whip.
Spekulasi kedudukan Leong San yang juga bekas Ketua Pembangkang bersama kepemimpinan DAP negeri hangat diperkatakan selepas beliau dilihat lebih memihak kepada beberapa keputusan yang dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
Sementara itu, kedudukan kerusi Leong San turut berubah apabila ditempatkan bersebelahan dengan Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru), manakala Poay Tiong mengambil alih tempat Leong San.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.