SELAMAT: Farhan berbual dengan mangsa sementara usaha mengesan pacuan empat roda itu dijalankan pihak bomba. |
PRIHATIN: Orang ramai berkumpul di kawasan pangkalan feri sehingga pihak bomba menangguhkan operasi pada jam 2 pagi, sebelum diteruskan semula kira-kira jam 7 pagi semalam. |
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berhadapan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terjunam ke dalam sungai di Pangkalan Feri Muara Tuang, di sini, malam kelmarin (Sabtu).
Dia yang dalam perjalanan balik ke Semariang selepas berjumpa rakan di Kampung Rembus, dikatakan tersalah jalan apabila memandu sehingga ke pangkalan feri berkenaan sebelum tertekan pedal minyak hingga menyebabkan kereta itu terjunam ke dalam sungai.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Liang Rengga, 56, bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bergegas ke lokasi susulan menerima panggilan kira-kira jam 9 malam.
Katanya, pihaknya segera memulakan usaha menjejaki kereta berkenaan bagi mendapatkan kesahihan seorang lagi mangsa masih terperangkap seperti didakwa orang awam namun mangsa menyatakan dia berseorangan dalam kenderaan tersebut.
Operasi itu ditangguhkan pada jam 2 pagi sebelum disambung semula jam 7 pagi.
“Bagaimanapun, operasi penyelaman dijalankan oleh Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) tidak menemui mangsa dalam kenderaan berkenaan seperti didakwa,” katanya.
Operasi diketuai Ketua BBP Kota Samarahan PKPgB Hashim Ramelan itu ditamatkan pada jam 3 petang semalam.
Turut berada di lokasi, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Samarahan PgKB II Azman Julaihi serta Timbalannya PgB Nik Afiq Nik Roslan.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.