16 March 2016

Lelaki Mengamuk Cucuh Puntung Rokok Ke Bibir Isteri

KUCHING: Tidak tahan lagi dibelasah suami termasuk dicucuh puntung rokok di bibir dalam insiden terbaharu, seorang wanita tampil membuat laporan polis, baru-baru ini.
Mangsa berusia 42 tahun mendakwa insiden tersebut berlaku pada Sabtu lepas apabila suaminya tiba-tiba mengamuk dan membelasahnya sebelum bertindak mencucuh rokok di bibirnya.
Kejadian sekitar jam 12 tengah hari di rumah mereka di Kampung Semariang Batu itu berjaya dileraikan oleh ahli keluarga yang menyedari insiden tersebut.
“Difahamkan, si suami tiba-tiba mengamuk sebelum bertindak membelasah isterinya yang terdahulunya dikatakan cuba mententeramkannya.
“Keadaan bagaimanapun bertambah tegang apabila si suami dikatakan mencucuh puntung rokok di bibir isterinya, selain turut mengacukan parang ke lehernya.
“Si suami bagaimanpun berjaya dipujuk oleh ahli keluarganya yang menyedari insiden tersebut,” kata sumber yang turut memberitahu si isteri mengalami lebam di mata serta badannya.
Menurut sumber lagi, kejadian tersebut berulang pada keesokan harinya apabila mangsa sekali lagi dibelasah oleh suaminya yang berang selepas dia tidak diberikan wang untuk membeli rokok.
“Si suami dikatakan meminta wang daripada isterinya untuk membeli rokok, tetapi si isteri memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan si suami terus mengamuk.
“Melihat kejadian tersebut, ahli keluarga yang lain terus membawa si isteri dan anaknya keluar dari rumah berkenaan demi keselamatan mereka,” kata sumber.
Mangsa yang risau akan terjadi perkara yang tidak diingini terhadap dirinya kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress