14 March 2016

Azalina Nafi Dakwaan Tony Pua Berhubung Isu SRC International

KUALA LUMPUR, 14 Mac - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan beliau memberi kenyataan mengelirukan berhubung isu SRC International seperti yang didakwa Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua.

Azalina berkata jawapan bertulisnya berhubung pertanyaan lisan Pua bertarikh 9 Mac 2016 di Dewan Rakyat itu adalah berpandukan kenyataan rasmi Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 26 Jan lepas.

"Dalam kenyataan itu, Peguam Negara menjelaskan Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan sebarang perbuatan rasuah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azalina berkata SPRM dalam kenyataannya pada 27 Jan (Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizat Yaacob) dan 28 Jan (Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed) turut menegaskan tindakan merujuk Perdana Menteri ke Panel Penilai Operasi adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai menolak keputusan yang diputuskan Peguam Negara.

"Saya tidak faham maksud YB Tony Pua yang menyatakan saya mungkin mengelirukan Dewan Rakyat melalui jawapan kepada pertanyaan lisan beliau," katanya.

Pua dalam kenyataannya hari ini mendakwa jawapan lisan Azalina kepada beliau yang menjelaskan bahawa tiada sebarang perbuatan rasuah oleh perdana menteri dalam isu SRC International adalah bercanggah dengan kenyataan peguam negara berhubung isu berkenaan selain kekurangan maklumat.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress