KUCHING: Rakyat diminta berfikir dengan minda jelas untuk membeza fakta dan ‘auta’ terutama dalam media sosial untuk memastikan kesahihan bagi mengelak kekeliruan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, malah terdapat cerita dikeluar hanya berasas pendapat peribadi semata-mata kerana mungkin bukan kebenaran.
Beliau memberi contoh wujud kumpulan diketuai bekas seorang pemimpin yang memimpin negara selama 22 tahun yang kini mengisytihar deklarasi untuk rakyat.
“Ia sebenarnya bukan deklarasi rakyat kerana ia bukan ditentukan atau dipersetujui rakyat Malaysia. Malah sebahagian besar rakyat Sarawak tidak bersetuju deklarasi berkenaan.
“Jangan cuba libatkan rakyat dengan menjadikan agenda peribadi sebagai agenda rakyat. Ia bukan agenda rakyat tetapi agenda peribadi.
“Maka itu amat penting untuk kita membangunkan minda agar tahu memikirkan perbezaan fakta dan ‘auta’,” katanya.
Tegas Najib, jika mahu membuat demokrasi sekalipun ia harus berdasar pemikiran tepat dengan mengetahui kebenaran atau sebaliknya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan program MINDA (Malaysia Inklusif Negara Digital) yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Tebingan Kuching di sini, semalam.
Najib berkata, fakta sebenar ialah kerajaan menggota semua janjinya kepada rakyat manakala pembangkang hanya boleh memberi janji tetapi kebanyakan tidak ditunai.
Katanya, jelas sekali terdapat beza antara kerajaan dengan pembangkang dan perbezaan itu harus difikir rakyat kerana pembangkang hanya mahukan kuasa semata-mata.
“Kita tidak mendiskriminasi mana-mana kerajaan negeri di bawah pembangkang kerana kita juga memberi peruntukan kepada Kelantan (PAS) dan Pulau Pinang (DAP).
“Namun amat mudah bagi kerajaan pusat bersama kerajaan negeri bekerjasama jika ia berada dalam pasukan sama,” katanya.
Sementara itu, Adenan dalam ucapannya berkata, Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan terutama sekali kepada Perdana Menteri yang kerap datang ke Sarawak sejak menjadi perdana menteri.
“Dalam tempoh enam tahun menjadi Perdana Menteri, beliau sudah datang 46 kali, melebihi jumlah keseluruhan kedatangan lima Perdana Menteri sebelumnya.
“Hari ini kali ke-47 Perdana Menteri datang ke Sarawak. Beliau datang kerana sayang kita (Sarawak), tidak pernah ada Perdana Menteri macam ini.
“Malah setiap kali dia (Najib) datang, tidak dengan tangan kosong sebaliknya bawa bersama berjuta malahan berbilion dana untuk diberikan kepada Sarawak,” katanya.
Namun kata beliau kekerapan Perdana Menteri datang ke Sarawak bukan disebabkan Pilihan Raya Negeri yang semakin hampir.
“Perdana Menteri datang bukan kerana pilihan raya sahaja. Sejak lima tahun lepas, dia (Najib) memang kerap datang ke Sarawak,” katanya.
--Utusan Borneo 13/03/2016
13 March 2016
Rakyat Perlu Berfikir Dengan Minda Jelas, Bijak Beza Isu Fakta Atau ‘Auta’: PM
Posted by Unknown on 2:31:00 PM in | Comments : 0
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.