18 March 2016

Isu RM2.6 Bilion: Pandikar Minta Jawapan Bertulis Azalina

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PKR Alor Setar, Gooi Hsiao Leung diminta untuk mengemukakan surat berhubung jawapan soalan lisan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman yang didakwa mendahului kuasa beliau selaku Speaker Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata surat itu perlu diberikan kepada beliau oleh Hsiao Leung berikutan beliau tidak menyedari jawapan lisan tersebut dan isu yang cuba dibangkitkan oleh Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo sebelum itu.
“Dalam soalan Ahli Parlimen Puchong (Gobind), saya tidak sedar pun akan kenyataan seperti disebutkan. Maaf sebab saya tidak baca lagi apa yang tersiar.
“Jadi persoalan yang dibangkitkan belum timbul dalam pemikiran saya, peraturan mesyuarat 43 mengenai tafsiran, jadi kalau ada ahli berhormat Pengerang (Azalina) ada menyatakan, ahli yang berhormat itu perlu bertanggungjawab terhadap apa kenyataan yang dibuat,” kata Pandikar Amin menjawab persoalan yang dibangkitkan Gobind mendakwa Azalina telah mendahului kuasa Speaker dalam menentukan perjalanan sidang Dewan Rakyat apabila menyatakan isu derma RM2.6 bilion kepada perdana menteri tidak boleh dibangkitkan di Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Azalina menerusi satu kenyataan hari ini menjelaskan kenyataan medianya semalam berhubung isu dana RM2.6 bilion dilakukan atas kapasiti beliau sebagai menteri yang menjawab isu-isu berkaitan Pejabat Perdana Menteri.
Perkara berkenaan menurutnya adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 23 (1) (g) yang mana ianya adalah sub judice sekiranya dibincangkan dalam mana-mana forum.
“Kita tidak dapat lagi menjawab pertanyaan-pertanyaan lisan dan bukan lisan termasuk ketika sesi penggulungan kerana selagi mana perkara ini dalam pertimbangan mahkamah (sub judice).
Tambahnya dari sudut perundangan pula, sub judice ialah untuk mencegah perbicaraan oleh pihak luar supaya pihak mahkamah tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran dalam membuat penghakiman atau keputusan.
Azalina dalam satu kenyataan semalam yang diulangi semula hari ini menyatakan pendirian untuk tidak menjawab sebarang pertanyaan di Parlimen membabitkan derma politik RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress