14 March 2016

Tempoh Program Rehiring Dipendekkan Kepada 30 Jun Ini

PUTRAJAYA, 14 Mac -Tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring yang dijadualkan berakhir pada 30 Disember dipendekkan kepada 30 Jun ini, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Program Rehiring dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 15 Feb 2016 bagi PATI dari 15 negara sumber sedia ada.

KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga 10 Mac, sejumlah 15,822 orang PATI telah didaftarkan di bawah Program Rehiring, meliputi 9,738 orang PATI warganegara Indonesia, 3,808 (Bangladesh), 425 (Myanmar) dan 1,851 orang PATI warganegara lain.

KDN berkata prestasi Program Rehiring masih tidak memuaskan walaupun hampir sebulan ia dilaksanakan beserta operasi penguatkuasaan besar-besaran yang giat dijalankan oleh Jabatan Imigresen ekoran masih terdapat ramai majikan yang didapati menggaji PATI.

"Oleh yang demikian, kerajaan ingin menyeru agar para majikan menggunakan peluang yang ada untuk menyertai Program Rehiring bagi membolehkan PATI dikeluarkan permit kerja yang sah," katanya.

KDN berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.

Pada masa yang sama, mana-mana majikan yang mengambil pekerja lebih daripada lima orang boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.

KDN berkata permohonan Program Rehiring oleh majikan dan PATI hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rehiring.imi.gov.my dan syarat-syarat terperinci program juga boleh dimuat turun di laman web yang sama.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan Program Rehiring mengikut warganegara iaitu Indonesia di 03-149 4788 atau enquiry@imantki.com, Myanmar (07-333 4797/07-333 6797) atau enquiry@homme-osc.com, lain-lain warganegara (03-7801 8888) atau rehiring@myeg.com.my

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia di talian 03-8880 1555 atau 03-8880 1557 pada setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress