KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan tiada perancangan untuk membubarkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tiada sebab untuk 1MDB dibubarkan kerana syarikat tersebut sentiasa memenuhi komitmen pembayaran balik prinsipal dan faedah pinjaman dengan konsisten.
Menurutnya, isu ‘mismatch’ tidak mewajarkan untuk pembubaran dibuat ke atas 1MDB, tambahan pula kerajaan sudah pun mengambil langkah bagi menjayakan pelan rasionalisasi terhadap syarikat tersebut.
Selain itu jelasnya, 1MDB juga kini menerajui projek jangka panjang untuk mengambil peluang ke atas pelaburan dan kepakaran antarabangsa dengan melabur dalam projek berganda tinggi serta berinovasi.
Antaranya jelas Perdana Menteri, ialah projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX), projek pembangunan Bandar Malaysia dan penerokaan dalam sektor tenaga menerusi anak syarikat 1MDB iaitu Edra Energy.
Tambahnya, projek TRX dianggar mempunyai nilai pembangunan kasar RM40 bilion dan memiliki jangka masa pembinaan selama 15 tahun dengan visi untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan antarabangsa.
“Bandar Malaysia pula ialah projek pembangunan bersepadu yang bakal mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur di arena global sekaligus menarik minat para pelabur dan syarikat antarabangsa untuk menanam modal.
“1MDB juga kini memberi fokus utama kepada sektor tenaga dan melalui Edra Energy, 1MDB merupakan salah satu pengeluar tenaga bebas yang terkemuka di Asia Tenggara,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dr. Ko Chung Sen (DAP-Kampar) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Najib berkata, hasil pelan rasionalisasi, pembayaran semula hutang 1MDB sebanyak AS$975 juta (RM4,036 bilion) dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dijangka mengurangkan hutang syarikat sebanyak RM16 bilion.
Pada masa sama katanya, 1MDB juga mengumumkan pada 23 November lalu bahawa satu perjanjian jual beli saham telah dimeterai dengan China General Nuclear Power Corporation (CGN) bagi membolehkan syarikat menerima RM9.3 bilion, di samping pengambilalihan hutang oleh Kumpulan CGN sebanyak RM7.43 bilion.
“Melalui penerimaan tunai dan pemindahan hutang tersebut, 1MDB akan menikmati pengurangan hutang sebanyak RM17.26 bilion. Urus niaga ini dijangka selesai apabila kesemua syarat dipenuhi atau dilepaskan,” katanya.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.