KUCHING, 13 Mac - Polis menahan dua rakyat Australia di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini malam tadi, kerana cuba mendekati Datuk Seri Najib Tun Razak secara agresif ketika Perdana Menteri menghadiri majlis bersama rakyat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata dua rakyat Australia berusia 51 dan 39 tahun itu, mendakwa bertugas sebagai wartawan dengan Australian Broadcasting Corporation berpangkalan di Sydney.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 8.35 malam.
"Mereka melintasi garisan keselamatan dan secara agresif cuba mendekati Perdana Menteri.
"Mereka ditahan kerana tidak mematuhi arahan polis supaya tidak melepasi garisan keselamatan," katanya.
Dev berkata Ketua Polis Daerah Padawan Supt Ng Ah Lek telah membuat laporan polis berhubung tindakan mereka itu.
Beliau berkata siasatan terhadap kedua-dua warga Australia itu mendapati mereka tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 5 Mac.
"Mereka tiba di sini (Kuching) pada 12 Mac dan mendakwa membuat liputan tentang lawatan rasmi Perdana Menteri ke Sarawak.
"Mereka dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini setelah keterangan mereka direkodkan," katanya.
Dev berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.