16 March 2016

Tiada Pihak Boleh Persoal Keputusan Peguam Negara

Zaki Azmi
KUALA LUMPUR : Sebarang keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara berhubung sesuatu kes tidak boleh dipersoal atau dicabar oleh mana-mana pihak kerana ia dianggap muktamad. 

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi berkata, Peguam Negara adalah jawatan yang dilantik dan diberi kuasa melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi dia menunaikan kewajipannya di bawah undang-undang tertinggi, keputusannya adalah muktamad. Tiada siapa yang boleh mempersoalkan termasuk mahkamah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, berhubung resolusi Majlis Peguam yang meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatannya, Zaki enggan mengulas lanjut tentang resolusi berkenaan.

“Saya tidak mahu terlibat de­ngan agenda politik Majlis Pegu­am,” ujarnya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan, Majlis Peguam bersedia untuk berdebat pada mesyuarat agung tahunannya (AGM) bagi membentangkan usul menggesa Mohamed Apandi meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.

Usul yang dicadangkan turut meminta Peguam Cara Negara mengambil alih peranan pendakwa raya dalam kes-kes yang mungkin melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Dalam usul berkenaan. Majlis Peguam meminta Mohamed Apandi segera meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara, untuk kebaikan Malaysia bagi memulihkan keyakinan orang ramai dan persepsi kedaulatan undang-undang, khususnya pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia.


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress