16 March 2016

JKNMPP Cadang Larangan Derma Politik

KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) mencadangkan agar larangan dikenakan terhadap derma politik daripada pihak berkepentingan dari luar negara, kepada parti politik dan calon individu.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, yang juga pengerusi jawatankuasa itu, berkata cadangan tersebut bertujuan melindungi politik tempatan dan kedaulatan negara daripada pengaruh asing.

Katanya mana-mana individu atau perbadanan yang ditubuhkan di bawah undang-undang Malaysia, boleh menderma kepada parti politik dan ahli politik individu dengan syarat tertentu.

"Ini termasuk perbadanan berkenaan bukan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ia mestilah tidak mendapat manfaat daripada sebarang kontrak atau konsesi penting kerajaan," katanya.

Low berkata semua derma yang diterima mestilah dimaklumkan kepada 'pengawal' dalam tempoh 14 hari dan perlu dihebahkan kepada orang ramai menurut cara yang ditetapkan Akta berkenaan.

Kata beliau sekiranya derma itu tidak dihebahkan, maka ia akan dianggap suatu suapan dan pemberi serta penerimanya hendaklah didakwa mengikut undang-undang anti rasuah negara ini.

"Penderma tanpa nama dibenarkan menderma tidak melebihi RM1,000. Ini secara khusus bertujuan memudahkan inisiatif 'crowdfunding' melalui Internet," katanya.

Beliau berkata cadangan tersebut adalah antara keputusan awal yang diambil pada mesyuarat ketiga jawatankuasa itu semalam.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress