13 March 2016

AG Tentukan Tindakan Terhadap Dua Warga Australia Rempuh Kawalan Keselamatan PM


KUCHING, 13 Mac (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AG) akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap dua warga Australia yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata identiti kedua-dua mereka yang mendakwa sebagai wartawan Australia Broadcasting Corporation (ABC) itu akan disiasat.

"Saya sahkan dua orang ini ditangkap kerana mereka tidak mengendahkan arahan polis.

"Mereka merempuh kawalan keselamatan Perdana Menteri...saya tidak tahu apa cuba dilakukan tetapi mereka ingkar arahan polis dan kita tahan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di sini hari ini.

Khalid berkata tindakan dua warga Australia itu amat tidak wajar kerana program Perdana Menteri malam tadi, bukannya sesi temubual atau sidang media.

Malam tadi, Najib menghadiri sesi pemimpin bersama masyarakat di Masjid Darul Ehsan Kampung Haji Baki, Padawan.

"Jadi, kenapa mereka perlu merempuh kawalan keselamatan untuk dapatkan Perdana Menteri?

"Kita akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tuduh mereka kerana halang penjawat awam laksanakan tugas," kata Khalid.

Beliau berkata kedua-dua mereka dibebaskan pagi tadi dengan jaminan polis dan perlu berada di negeri ini, sementara siasatan dilakukan.

Khalid berkata pengamal media sama ada tempatan ataupun antarabangsa perlu menjaga etika semasa menjalankan tugas.

"Dalam hal-hal keselamatan, jangan pergi serbu tidak tentu hala. Biasanya Perdana Menteri akan beri juga kepada pemberita untuk ditemuramah. Kawalan keselamatan Perdana Menteri adalah tugas polis. Jadi, kita tidak mahu apa-apa tidak elok berlaku kepada Perdana Menteri," katanya.


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress