13 March 2016

Media Tidak Dihalang Laksana Tugas, Namun Perlu Hormati Undang-undang - TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
mesyuarat Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
di Kuching Ahad

KUCHING, 13 Mac - Kerajaan tidak menghalang media tempatan ataupun asing melaksanakan tugas namun mereka perlu mematuhi etika kewartawanan dan juga undang-undang negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya bagi pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri tidak menghalang mana-mana wartawan dalam negara atau luar negara membuat liputan terhadap sebarang peristiwa ataupun mewawancara mana-mana tokoh



"Tetapi, oleh kerana kerjaya kewartawanan mempunyai etika... pada hemat saya, etika-etika kewartawanan apatah lagi ia dilakukan oleh warga asing, maka kita melihat ada suatu ketika di mana orang kenamaan utama (VVIP) harus diberikan langkah-langkah keselamatan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dua warga Australia yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pihak keselamatan meletakkan keutamaan dalam menjaga keselamatan VVIP dan perkara itu tidak harus dilihat sebagai halangan kepada kebebasan media.

"Tindakan (jaga keselamatan) itu untuk menentukan tataetika kewartawanan diikuti...tataetika di Malaysia harus dijaga, diikuti dan soal keselamatan harus diberi keutamaan oleh pihak berkuasa, dan mana-mana wartawan harus hormati keputusan dari segi menjaga keselamatan.

"Saya fikir kalau wartawan Malaysia berada di luar negara, tentu kita harus mematuhi tataetika kewartawanan dan juga faktor-faktor keselamatan di negara-negara berkenaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata penahanan dua warga Australia itu tidak boleh dianggap sebagai halangan kepada wartawan asing untuk membuat liputan di negara ini.

"Saya fikir, mereka telah melakukan yang terbaik untuk media mereka. Tetapi pada masa yang sama, mereka harus menghormati aspek-aspek keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di negara ini," katanya.

Ditanya bentuk tindakan terhadap dua warga asing itu, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Kita harap, yang penting ialah dari segi menghormati undang-undang dan patuhi sesuatu peraturan itu," katanya.


--BERNAMA 13/03/2016

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress