14 March 2016

Tiada Unsur Jenayah Dalam Kes Keracunan Di Siputeh

IPOH, 14 Mac - Hasil siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes keracunan makanan di Siputeh, Batu Gajah yang berlaku pada 4 Mac lalu, kata Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohd Nasri Omar.

Sehubungan itu, Mohd Nasri berkata setakat ini tiada individu yang ditahan berhubung insiden tersebut.

"Dalam keterangannya, pemilik gerai memaklumkan, beliau, isteri dan pekerja tidak sempat makan makanan yang dicemari racun itu, kecuali hanya anaknya yang sempat makan dan turut ditahan di hospital.

"Jadi di sini kita tidak nampak sebarang unsur jenayah. Bagaimanapun, kita akan teruskan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Selain itu Mohd Asri mengesahkan pihaknya telah menerima dua laporan daripada Jabatan Kimia Perak semalam iaitu masing-masing untuk ujian sampel makanan dan ujian ke atas peralatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Juwita Ghazali dalam satu kenyataan berkata setakat ini hanya tinggal seorang pesakit yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Seorang lagi yang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di sini dijangka dibenarkan keluar esok.

Pada 9 Mac lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kes keracunan makanan di Siputeh berpunca daripada racun serangga jenis karbamat yang terdapat di dalam beberapa jenis makanan di sebuah gerai.

Menurut Mah punca keracunan itu adalah daripada makanan dan tiada kaitan dengan semburan (racun rumpai) kerana tong semburan racun dan rumput tidak terdapat karbamat.

 --BERNAMA 14/03/2016 


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress