ENGKILILI: “Jangan menjadi pengkhianat kepada masyarakat Iban jika tidak menyukai calon atau tidak sehaluan dengan kepimpinan negeri sedia ada kerana ia hanya memecah belah perpaduan sedia terjalin.
“Ketika kaum lain bergerak ke hadapan, amatlah malang jika masyarakat kita kekal berada di takuk lama gara-gara mainan politik mereka yang sanggup menjadikan kaumnya sebagai batu loncatan demi kepuasan diri,” menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Rumah Awing Laga, Merindun di sini, semalam.
Tambahnya, semua orang dijamin kebebasan berpolitik namun politik yang dibawa itu terbahagi kepada dua iaitu politik pembangunan yang menjadi tunjang pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi dan satu lagi politik pecah belah yang tidak menguntungkan sesiapa.
“Jika anda mahu berpolitik, amalkan yang pertama kerana ia akan meletakkan sesebuah bangsa seiring dengan bangsa yang terdahulu maju serta dilimpahi pembangunan…namun bukan politik pecah belah yang amat merugikan kita semua dalam jangka panjang.
“Justeru, sebagai pengundi kita harus bijak memilih jalan yang terbaik bukan sahaja untuk kita hari ini namun untuk generasi anak cucu akan datang,” katanya.
Sehubungan itu katanya, waspadalah dengan kehadiran golongan ini terutama pembangkang dan calon bebas yang mula menjenguk kampung dan rumah panjang sedangkan mereka hilang entah ke mana setahun dua lalu.
“Rakyat harus bijak melihat perspektif politik secara menyeluruh dalam keterangkuman yang cukup luas yakni apakah yang mereka mahukan untuk tempoh lima tahun dari sekarang…adakah terus berada di takuk lama atau terus maju ke hadapan dengan limpahan pembangunan yang semuanya dibawa oleh BN,” katanya.
Menurut Ketua Pemuda dan Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu lagi, pengundi harus terus bersama kerajaan BN dan memberi penggal seterusnya kepada pasukan yang akan dibentuk Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijadual April depan.
“Percayalah, pasukan Adenan itu adalah yang terbaik pernah dibentuk dalam mana-mana PRN termasuk saya yang akan mempertahankan konstituensi Engkilili, justeru tidak ada sebab untuk anda tidak memberi peluang kepada Adenan dan pasukannya kelak.
“Lihatlah, baharu dua tahun usia pentadbiran beliau telah melakar kira-kira 50 pencapaian yang semuanya sangat dekat di hati rakyat terutama kita di luar bandar tanpa mengabaikan keperluan masyarakat bandar.
“Antaranya termasuk mengurangkan tarif elektrik dengan percuma jika bayaran kurang daripada RM20, memerangi pembalakan haram, mengiktiraf tanah NCR yang merupakan lubuk fitnah pembangkang sebelum ini, menghapuskan bayaran tol, mendapatkan kuasa autonomi terutama dalam aspek pendidikan, membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dan terbaharu menghapuskan bayaran cukai tanah yang akan berkuat kuasa April ini dan banyak lagi.
“Oleh yang demikian jika anda berterima kasih kepada Adenan anda harus memberi peluang kepada beliau memimpin kita untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi dengan mandat yang utuh dan besar agar suara beliau menjadi dominan ketika mewakili suara kita di peringkat pusat,” katanya.
Bercakap lanjut, Dr Rayong turut membidas pihak yang berterusan mengganggu DUN Engkilili walaupun menyedari siapa bakal calon di situ dan sudah diberi peringatan agar tidak berbuat demikian.
“Kepada pihak tersebut cukup-cukuplah anda bertindak sebagai pendekar kedai kopi dan biarkan pengundi membuat pilihan sendiri.
“Jangan terus memerangkap emosi pengundi kerana ia hanya akan menguntungkan pihak ketiga,” katanya sambil menyarankan pihak tersebut menerima kenyataan politik semasa yang pastinya tidak selamanya berpihak kepada mereka.
“Kepada ketua-ketua masyarakat, harus menggembleng tenaga dan buah fikiran bersama saya mencari jalan untuk terus memacu pembangunan di DUN ini bagi lima tahun lagi.
Katanya beliau akan terus memfokus kepada agenda menyalurkan kemudahan asas di DUN Engkilili iaitu pembinaan jalan raya yang lebih baik dan bekalan elektrik selain bekalan air paip terawat.
“Semua itu agenda utama saya bersama pasukan Adenan dan sudah pasti tiada satu pun rumah panjang dan perkampungan yang akan tercicir menikmatinya kerana ia hak yang patut anda dapat daripada kerajaan BN,” tegasnya.
Malah beliau berjanji akan terus memperkasakan bidang pendidikan di DUN Engkilili kerana menyedari hanya pendidikan mampu mengubah masa depan seseorang itu.
“Tanpa pendidikan, kita tidak dapat bersaing dengan orang lain kerana jatuh dan bangunnya diri dan keluarga kelak bergantung kepada setinggi mana ilmu di dada,” katanya dan menggesa ibu bapa agar menyediakan peluang pendidikan seluas-luasnya kepada anak-anak mereka.
Pada majlis sama Dr Rayong menyampaikan geran MRP kepada 17 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita, gereja dan Tabika KEMAS di sekitar Merindun yang kesemuanya bernilai RM140,000.
Manakala JKKK dan Biro Wanita Rumah Awing Laja mendapat geran keseluruhan berjumlah RM53,000 termasuk pemberian khas RM500 sepintu.
Turut hadir Penghulu Inchang Ancheh, Penghulu Betok, pegawai JASA Edwin Acheh, Pengerusi Persatuan Tuai Rumah (PTR) Tuai Rumah Sibat Krutap, Pegawai Cawangan Khas Lubok Antu yang baharu Inspektor Demas Yahya, wakil parti komponen BN di DUN Engkilili dan Batang Ai, para kaunselor, kapitan, 30 orang tuai rumah serta sekitar 500 hadirin.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.